PIE Industrial raih tempahan hampir RM450 juta daripada pelanggan baharu industri AI

LocalBusiness & Finance
20 Nov 2026 • 5:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PIE Industrial raih tempahan hampir RM450 juta daripada pelanggan baharu industri AI Image from: PIE Industrial raih tempahan hampir RM450 juta daripada pelanggan baharu industri AI liza20/11/2026 - 17:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Nov – PIE Industrial Berhad memperoleh tempahan pembelian bernilai AS$99.82 juta (kira-kira RM450 juta) daripada pelanggan baharu, sebuah syarikat multinasional asing yang terbabit dalam industri pelayan kecerdasan buatan (AI).

 

Tempahan itu diterima menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pan-International Electronics (Malaysia) Sdn Bhd (PIEM) pada 20 November 2026, bagi pemasangan produk berkaitan pelayan AI yang digunakan di pusat data.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata penerimaan tempahan itu adalah kemasukan pelanggan baharu daripada industri pelayan AI dalam portfolio perniagaan Kumpulan yang membuka ruang kepada sumbangan hasil daripada segmen berkaitan pusat data.

 

“Tempahan berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan 31 Disember 2027,” katanya.

 

Ia dijangka menyumbang secara positif kepada hasil disatukan kumpulan bagi kedua-dua tahun kewangan berkenaan.

 

Bagaimanapun, PIE Industrial menjelaskan tempahan itu dijangka membawa margin keuntungan kasar yang agak rendah.

 

Margin keuntungan dijangka rendah

Walaupun nilai tempahan hampir RM450 juta, kumpulan itu menjangkakan kesan terhadap keuntungan tidak begitu besar berikutan margin keuntungan kasar yang rendah bagi produk berkenaan.

 

Tempahan tersebut juga tidak dijangka memberi kesan material terhadap aset bersih sesaham syarikat.

 

Selain itu, penerimaan tempahan berkenaan tidak akan mengubah modal saham terbitan serta struktur pegangan saham PIE Industrial.

 

Berdepan risiko pelaksanaan dan rantaian bekalan

Dalam pada itu, kumpulan mengenal pasti beberapa risiko yang boleh mempengaruhi pelaksanaan tempahan berkenaan, termasuk risiko pengeluaran dan operasi, perubahan ketersediaan serta harga bahan mentah dan komponen.

 

Risiko lain merangkumi gangguan rantaian bekalan, tekanan kos dan margin, perubahan permintaan pelanggan serta spesifikasi produk, selain perkembangan politik, ekonomi dan kawal selia.

 

PIE Industrial berkata pihaknya akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurus dan mengurangkan risiko berkenaan dalam perjalanan operasi perniagaan biasa.

 

Syarikat turut mengesahkan bahawa tiada kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam tempahan tersebut melibatkan mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau individu yang mempunyai hubungan dengan mereka.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved