Kitacon raih kontrak RM462.1 juta, buku tempahan kini cecah RM1.25 bilion

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 3:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kitacon raih kontrak RM462.1 juta, buku tempahan kini cecah RM1.25 bilion Image from: Kitacon raih kontrak RM462.1 juta, buku tempahan kini cecah RM1.25 bilion liza24/11/2026 - 15:00 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov – Kumpulan Kitacon Berhad merekodkan kontrak baharu bernilai RM462.1 juta sejak 1 Januari hingga 24 November 2026, menjadikan buku tempahan tertunggak kumpulan itu mencecah RM1.25 bilion setakat 24 November 2026.

 

Pencapaian itu menyediakan keterlihatan pendapatan kepada kumpulan, yang turut mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 10.4% kepada RM43.17 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY2026), berbanding RM39.11 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Hasil kumpulan turut meningkat 9.6% kepada RM683.49 juta berbanding RM623.66 juta sebelumnya, disokong peningkatan aktiviti pembinaan bagi projek-projek yang sedang dilaksanakan.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (Q3FY2026), PAT meningkat 14.3% kepada RM14.50 juta berbanding RM12.69 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Hasil bagi suku berkenaan turut meningkat 10.8% kepada RM233.08 juta berbanding RM210.33 juta sebelumnya.

 

Projek perindustrian sumbang RM151.46 juta

Mengikut pecahan segmen, projek kediaman kekal menjadi penyumbang terbesar hasil kumpulan bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, iaitu RM430.69 juta berbanding RM502.68 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Bagaimanapun, hasil daripada segmen bukan kediaman mencatatkan peningkatan kepada RM211.84 juta berbanding RM118.78 juta sebelumnya, didorong terutamanya oleh projek perindustrian yang menyumbang RM151.46 juta berbanding RM59.86 juta.

 

Sementara itu, hasil daripada projek komersial berjumlah RM58.72 juta berbanding RM58.26 juta, manakala perkhidmatan berkaitan lain meningkat kepada RM40.96 juta daripada RM2.21 juta.

 

Buku tempahan RM1.25 bilion beri keterlihatan pendapatan

Dari segi prospek, Kitacon mempunyai buku tempahan tertunggak bernilai RM1.25 bilion setakat 24 November 2026, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan bagi kumpulan.

 

Bagaimanapun, Kitacon menjangkakan keadaan pasaran kekal mencabar sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (FY2026), susulan ketidaktentuan geopolitik global yang memberi tekanan kepada pasaran tenaga dan komoditi.

 

Menurut kumpulan, kenaikan harga bahan api serta gangguan rantaian bekalan turut meningkatkan kos bahan binaan, pengangkutan dan logistik, sekali gus menambah tekanan kos dalam industri pembinaan.

 

Sehubungan itu, lembaga pengarah kekal optimistik secara berhati-hati dan akan terus memantau perkembangan pasaran, selain melaksanakan pengurusan kos serta sumber secara berhemat bagi mengurangkan tekanan perbelanjaan dan meningkatkan kecekapan operasi.

 

Umum dividen interim ketiga 1 sen sesaham

Dalam perkembangan lain, Kitacon mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 1 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, membabitkan pembayaran kira-kira RM5 juta.

 

Tarikh kelayakan dividen ditetapkan pada 10 Disember 2026, manakala pembayaran dijadualkan pada 22 Disember 2026.

 

Dengan pengisytiharan itu, jumlah dividen bagi FY2026 kini berjumlah 3 sen sesaham atau kira-kira RM15.01 juta, merangkumi tiga pembayaran interim masing-masing sebanyak 1 sen sesaham. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved