
Jika anda berjalan-jalan dan benar-benar memerhatikan keadaan sekeliling, pastinya anda mula menyedari kebanjiran grafik janaan AI yang digunakan oleh pengusaha syarikat tempatan. AWS Malaysia dalam hasil kajian mereka bersama Strand Partners berkongsi hasil kajian mereka bersama 1000 syarikat tempatan dan 1000 orang awam mendapati perkembangan memberangsangkan mengenai penggunaan AI untuk perniagaan mahupun operasi syarikat mereka.

Untuk tahun 2026, sekitar 3.4 juta ataupun 38% syarikat tempatan kini menggunakan sekurang-kurangnya satu teknologi AI secara konsisten, satu peningkatan berbanding kadar 27% pada tahun 2025. Kadar penerimagunaan ini merupakan peningkatan yang memberangsangkan, akan tetapi kebanyakan darinya merupakan aplikasi asas seperti pembantu maya yang berfungsi melaksananakan rutin tugasan. Hanya sekitar 19% syarikat yang benar-benar mempunyai strategi AI tersendiri dan berjaya mengoptimasikan pelbagai proses.
Dalam hasil kajian ini juga, rata-rata berpendapat yang penyedia perisian tempatan serta pembangun teknologi AI tempatan adalah penting bagi penerimagunaan AI dalam syarikat mereka. Ini mungkin kerana akses yang mudah bagi syarikat untuk berurusan secara terus dengan penyedia. Malah sekitar 57% syarikat mendapatkan teknologi AI dari penyedia luar, berbanding membangunkannya secara sendiri. Hal ini dilihat lebih pantas dan efektif, disamping membolehkan syarikat fokus terhadap operasi yang lebih penting.

Aspek Tadbir Urus (Governance) Yang Ketat Bukan Penghalang Kemajuan
Sektor yang mendahului kadar penerimagunaan AI di Malaysia ialah sektor perkhidmatan kewangan dan pembuatan. Penemuan ini berkait rapat dengan aspek tadbir urus (governance) yang ketat kerana sektor kewangan merupakan sektor yang sangat mengutamakan aspek kebertanggungjawaban yang jelas, pemantauan, dan proses penggunaan AI. Dalam bahasa mudahnya, dengan kewujudan ruang lingkup, undang-undang, limitasi proses, kesemua ini membolehkan kemajuan AI yang terkawal. Sektor pembuatan pula masih berada pada penerokaan awal memandangkan cabaran berbeza dihadapi seperti kekangan sumber.

Seterusnya sekitar 72% syarikat menyatakan mereka akan meluaskan penggunaan AI apabila sektor awam lebih banyak menerapkan AI dalam urusan mereka. Malah 74% syarikat juga mahu kerajaan lebih aktif dalam mempercepatkan penerimagunaan AI selcara meluas. Tahun ini juga telah kita saksikan pelbagai inisiatif berkait AI mula diambil kerajaan dan perkembangan positif sebegini bakal dapat memajukan penerimagunaan AI di masa akan datang.

Selain dari itu AWS Malaysia turut mengumumkan ketersediaan Amazon Quick untuk pengguna tempatan. Amazon Quick merupakan ejen AI yang boleh diakses pengguna AWS, dan lebih dari sekadar menjawab soalan, ia juga boleh membangunkan paparan pemuka untuk operasi perniagaan, melakukan tatacara, melakukan analisa dan banyak lagi.






