Penerimagunaan AI Malaysia meningkat kepada 38 peratus

Business & Finance
20 Aug 2026 • 7:37 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penerimagunaan AI Malaysia meningkat kepada 38 peratus

KUALA LUMPUR: Penerimagunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan syarikat di Malaysia meningkat kepada 38 peratus tahun ini berbanding 27 peratus pada 2025, menurut kajian terbaharu Amazon Web Services (AWS).

Kajian dalam laporan Mencungkil Potensi AI Malaysia 2026 yang dijalankan oleh Strand Partners mendapati hampir satu juta syarikat baharu mula menerima guna AI sepanjang tahun lalu, bersamaan hampir dua syarikat setiap minit, menjadikan jumlah keseluruhan syarikat yang menggunakan AI melebihi 3.4 juta.

“Bagaimanapun, perkembangan itu masih belum seiring dengan tahap kematangan penerimagunaan teknologi berkenaan apabila 67 peratus syarikat yang menggunakan AI masih tertumpu kepada aplikasi asas seperti bot sembang awam bagi tugasan rutin dan teknologi AI siap guna untuk menambah baik proses sedia ada.

“Hanya 19 peratus syarikat mempunyai strategi rasmi untuk meluaskan penerimagunaan AI merentas pelbagai fungsi perniagaan,” katanya.

Menurut kajian, Malaysia kini berdepan peluang untuk mengubah penerimagunaan AI yang semakin meluas kepada keupayaan yang dapat dilaksanakan secara konsisten dan pada skala lebih besar.

Ujarnya, tiga pendekatan praktikal dikenal pasti bagi mencapai matlamat itu, iaitu memperkukuh peranan penyedia perisian berfokuskan sektor, meningkatkan aspek tadbir urus dalam operasi serta memperluas penerimagunaan AI oleh sektor awam bagi meningkatkan keyakinan syarikat.

“Kajian mendapati kebanyakan syarikat tidak cenderung membangunkan keupayaan AI secara dalaman, sebaliknya 57 peratus memperoleh keupayaan AI daripada penyedia luar, perunding atau vendor perisian.

“Malah, sebanyak 69 peratus syarikat menyatakan penyedia perisian dan pembangun teknologi AI yang berpangkalan di Malaysia mempengaruhi penerimagunaan AI mereka. 

“Penyedia perisian yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai sektor tertentu berupaya mengintegrasikan AI ke dalam aliran kerja sedia ada, sekali gus memudahkan lebih banyak organisasi mengakses teknologi berkenaan.

“Dalam kalangan syarikat yang bekerjasama dengan perunding luar, penyedia perisian dan rakan kongsi, 43 peratus menggunakan khidmat mereka untuk membangunkan strategi AI, 40 peratus bagi pengintegrasian serta penyelenggaraan sistem dan 31 peratus untuk latihan tenaga kerja,” katanya. 

Sementara itu, Pengurus Negara AWS Malaysia, Hussein Mohd. Ali berkata, penyedia perisian merupakan antara pemacu utama yang diperlukan Malaysia untuk meningkatkan penerimagunaan AI pada skala lebih besar.

“Penyedia yang memberi tumpuan kepada sektor tertentu dan mengintegrasikan AI ke dalam peralatan operasi syarikat merupakan cara terpantas untuk menggerakkan seluruh ekonomi daripada fasa eksperimen kepada keupayaan sebenar.

“Pada masa sama, aspek tadbir urus dan kepimpinan sektor awam bukanlah dua perkara yang berasingan. Kedua-dua faktor ini diperlukan untuk mengekalkan momentum yang wujud,” katanya.

Tambahnya, AWS sedang membangunkan ekosistem bagi menyokong matlamat berkenaan menerusi pelaburan dalam rakan kongsi tempatan, latihan tenaga kerja serta penyediaan asas teknologi yang membolehkan penyedia perisian membawa AI kepada pelbagai industri dan perniagaan di Malaysia.

Sektor perkhidmatan kewangan dan pembuatan mendahului kadar penerimagunaan AI di Malaysia dengan masing-masing 53 peratus dan 50 peratus syarikat menggunakan teknologi berkenaan, berbanding 38 peratus bagi keseluruhan sektor perniagaan.

Dalam sektor pembuatan, sebanyak 57 peratus syarikat masih berada pada peringkat meneroka atau bereksperimen dengan AI, berbanding 34 peratus dalam sektor perkhidmatan kewangan.

Bagaimanapun, 80 peratus syarikat dalam sektor pembuatan yakin AI berpotensi mentransformasi industri mereka.

Antara cabaran utama yang dikenal pasti sektor itu ialah isu teknikal atau berkaitan data sebanyak 44 peratus, kapasiti tenaga kerja (41 peratus) serta kekangan sumber (37 peratus).

Hanya 15 peratus syarikat pembuatan mempunyai strategi AI rasmi, manakala 13 peratus sahaja benar-benar bersedia untuk teknologi AI generasi baharu. – UTUSAN

The post Penerimagunaan AI Malaysia meningkat kepada 38 peratus appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved