
Puspakom memperkenalkan sistem pemeriksaan kenderaan baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) hasil kerjasama dengan syarikat teknologi tempatan, Keymag Sdn. Bhd. Ia bertujuan meningkatkan kecekapan serta ketepatan pemeriksaan automotif sekali gus mengukuhkan peranan Puspakom sebagai pusat pemeriksaan utama dan menyokong perkembangan teknologi dalam industri automotif negara.

Sistem baharu ini menggunakan AI untuk mengesan komponen serta kecacatan kenderaan secara automatik melalui analisis imej pintar. Teknologi ini membolehkan pengesanan kakisan, kebocoran minyak, kerosakan brek, komponen dalaman dan struktur dilakukan dengan lebih konsisten. Keupayaan ini menjadikan proses pemeriksaan lebih pantas. Sebagai contoh, pemeriksaan bawah kenderaan yang biasanya mengambil masa sekitar 10 minit kini boleh diselesaikan dalam kira-kira satu minit.

Dengan kecekapan tersebut, kapasiti pemeriksaan dapat ditingkatkan, masa menunggu dikurangkan dan nilai tambah diberikan kepada pemandu serta industri logistik. Selain itu, sistem turut menyediakan rekod pemeriksaan digital yang boleh dijadikan rujukan objektif sekiranya dapatan dipertikaikan.
Sumber – Utusan Malaysia





