Axis REIT catat pendapatan amanah bersih RM34.7 juta pada 2QFY23, isytihar DPU 2.05 sen seunit
diyana
26/07/2023 - 18:24
KUALA LUMPUR 26 Julai - Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) telah mencatatkan pendapatan amanah bersih RM34.7 juta dan pendapatan hartanah RM67.9 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), didorong oleh jumlah pendapatan amanah RM68.5 juta.
Axis REIT juga telah mencadangkan untuk mengagihkan 99% daripada pendapatan realisasi yang tersedia untuk pengagihan, yang dijana daripada operasi suku dalam tinjauan sebagai pengagihan pendapatan interim kedua untuk 2023.
“Ini mencapai pengagihan seunit (DPU) sebanyak 2.05 sen, termasuk bahagian tidak bercukai kira-kira 0.56 sen seunit diperoleh daripada elaun modal, elaun bangunan industri dan pendapatan keuntungan yang tidak tertakluk kepada cukai.
“Pengagihan pendapatan interim kedua ini akan dibayar pada 30 Ogos 2023. Tarikh tutup buku ialah 9 Ogos 2023,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Axis REIT juga mendedahkan bahawa pembinaan gudang BRDC 2 di Bukit Raja telah memperoleh Sijil Penyiapan Praktikal (CPC) pada 26 Jun 2023 dan menjangkakan untuk memperoleh Sijil Pematuhan dan Penyiapan (CCC) pada Ogos 2023.
Dengan CCC dalam tangan, Axis REIT berkata ia akan dapat menyerahkan BRDC 2 kepada pengendali e-dagang, SPX Xpress (Malaysia) Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai Shopee Express Malaysia Sdn). Hartanah tersebut telah disewakan sepenuhnya oleh pihak kedua untuk tempoh 15 tahun.
Ditambah dengan penyewaan baharu di Shah Alam DC 3 menjelang awal Ogos 2023, syarikat itu menjangkakan BRDC 2 bakal meningkatkan kadar penghunian portfolio sebanyak tiga mata peratusan kepada 92%.
Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Berhad, Leong Kit May berkata suku kedua merupakan tempoh yang mencabar bagi syarikat itu memandangkan ia berdepan dengan kekurangan sumbangan daripada Axis Steel Centre @ SiLC.

“Beberapa cabaran tidak dapat dinafikan di luar kawalan kami tetapi melangkah ke hadapan, kami akan meneruskan strategi pemajakan proaktif dan strategi untuk mengejar hartanah akretif berkualiti tinggi dengan pendapatan sewa berulang yang kukuh bagi mengoptimumkan pendapatan kami.
“Daripada 1.57 juta kaki persegi ruang yang tamat tempoh pada 2023, 78% telah diperbaharui daripada 64% pada Mac 2023. Itu adalah tambahan 220,000 kaki persegi ruang yang diperbaharui,” katanya. - DagangNews.com
