Pendapatan Public Bank dijangka baik pada 2QFY23 kerana margin faedah bersih bertambah baik – AmInvest Research

Business & Finance
11 Jul 2023 • 12:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan Public Bank dijangka baik pada 2QFY23 kerana margin faedah bersih bertambah baik – AmInvest Research

diyana

11/07/2023 - 12:58

KUALA LUMPUR 11 Julai - Pendapatan Public Bank Berhad dijangka baik pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) disebabkan margin faedah bersih (NIM) bertambah baik.

AmInvest Research berkata NIM yang bertambah baik menyebabkan pendapatan faedah bersih lebih tinggi, manakala peruntukan kumpulan stabil tanpa kejutan negatif terhadap perbelanjaan overhed (opex).

Bagi opex, firma penyelidikan itu tidak menjangkakan sebarang peningkatan mendadak dalam perbelanjaan teknologi maklumat (IT) memandangkan hanya terdapat penambahbaikan tanpa sebarang rombakan besar kepada sistem perbankan teras kumpulan.

“Dengan kadar kempen deposit tetap bank-bank kini dilihat lebih rendah daripada 4QFY22, kami menjangkakan mampatan NIM Public Bank mengecil pada suku berikutnya dalam FY23.

“Buat masa ini, kami mengekalkan andaian NIM kami bagi pemampatan 10 mata asas untuk FY23. Pasukan ekonomi kami menjangkakan tiada lagi kenaikan kadar faedah untuk baki tahun 2023 dengan kadar dasar semalaman (OPR) dikekalkan pada 3%,” ujarnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sehubungan itu, AmInvest Research berkata pertumbuhan pinjaman keseluruhan kumpulan dijangka sederhana sekali gus menamatkan FY23 dengan pertumbuhan 4% sehingga 5% berbanding 5.3% pada FY22, sejajar dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan pada separuh kedua tahun ini.

Di samping itu, kadar tunggakan dijangka kekal stabil dengan pinjaman tertunggak lebih daripada satu bulan (MIA) kepada jumlah pembiayaan kekal di bawah paras sebelum pandemik sebanyak 4%, di mana pada 1QFY23, peratusan pinjaman tertunggak melebihi 1 bulan ialah 2.1%.

Menurut firma itu, Public Bank kekal berhemat mengenai peruntukan dan ia tidak menjangkakan kumpulan itu membuat sebarang hapus kira yang besar pada pengurusan aset pada FY23 disebabkan kebolehubahan makroekonomi.

“Kami menjangkakan peruntukan lebih rendah dalam FY23 disokong oleh kestabilan kadar tunggakan pinjaman serta kemungkinan beberapa pelepasan pengurusan aset pada separuh kedua tahun ini. Andaian kos kredit kami sebanyak 8 mata asas dikekalkan untuk FY23,” tambahnya.

AmInvest Research mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) RM4.70 sesaham.

Saham Public Bank pada waktu rehat tengahari ini tidak berubah daripada harga penutupan semalam sebanyak RM3.86, memberikannya modal pasaran berjumlah RM74.9 bilion. - DagangNews.com