
KUALA LUMPUR – Kasih seorang suami tidak pernah terpadam walaupun dipisahkan oleh kematian. Saat insan tersayang pergi dahulu, hanya kenangan dan doa yang setia menemani hari-hari yang mendatang, itulah hakikat yang menyentuh hati ramai menerusi satu perkongsian di media sosial ini.
Seorang pengguna di akaun Threads miliknya berkongsi satu perkongsian menyentuh hati mengenai kisah keluarganya sehingga mengundang simpati ramai netizen.
Menerusi perkongsian tersebut, dia meluahkan kata-kata ayahnya yang sering mengadu tentang keadaan kesihatan diri.
“Ayah selalu cakap, ayah banyak sakit. Ayah dah lama sakit. Ayah ni taktahu lah berapa lama lagi hidup.
“Tak sangka, rupanya ibu pergi dulu. Kami sekarang cuma ada ayah je yah,” tulisnya.
Perkongsian itu turut memaparkan momen pilu apabila ayahnya dilihat duduk di tepi pusara isterinya, sekali gus menyentuh hati ramai yang melihatnya.
Luahan Netizen Turut Undang Sebak
Melihat situasi tersebut, ramai netizen meluahkan rasa sebak apabila terpancar kesedihan yang jelas di wajah si ayah, selain mendoakan agar beliau terus kuat menghadapi ujian kehilangan insan tersayang.
Malah, ada juga yang berkongsi pengalaman peribadi yang hampir sama apabila kehilangan ahli keluarga secara tidak dijangka, walaupun sebelum itu menyangka individu yang sakit akan pergi terlebih dahulu.
Tidak kurang juga yang menitipkan doa buat arwah serta mengucapkan takziah kepada keluarga terbabit, di samping mengingatkan orang ramai agar menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada.
Dalam pada itu, segelintir netizen turut menzahirkan rasa rindu terhadap sosok ayah yang telah tiada, selain menasihati agar terus menjaga dan mencipta kenangan bersama insan tersayang sebelum terlambat.
Perkongsian ini sekali lagi mengingatkan orang ramai tentang betapa berharganya insan bergelar ibu dan ayah, serta pentingnya menghargai mereka selagi masih diberi kesempatan.
Sesungguhnya, kehilangan tidak pernah memilih masa, namun penyesalan sering hadir apabila segalanya sudah tiada. Hargailah setiap detik bersama ibu dan ayah, kerana suatu hari nanti, yang tinggal hanyalah doa, kenangan dan rindu yang tidak akan pernah terubat. – The Malaysian Update
The post “Ayah Kata Dia Yang Akan Pergi Dulu, Namun Ibu Pergi Tinggalkan Kami” appeared first on The Malaysian Update.


