‘Ayah sempat buat panggilan video maklum terbabit kemalangan’

26 Oct 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Ayah sempat buat panggilan video maklum terbabit kemalangan’

BATU PAHAT: Warga emas, Ab. Shukor Athan, 68, yang terkor­ban dalam kemalangan di Kilometer 107 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini semalam sempat membuat panggilan video menyuruh semua anaknya pulang sejurus kejadian itu berlaku.

Anak sulung arwah, Mohd. Zaharudin Ab Shukor, 45, berkata, bapanya membuat panggilan video menerusi kumpulan WhatsApp keluarga memaklumkan mengenai kemalangan dan meminta anak-anaknya pulang.

Dia yang bekerja sebagai tukang masak di Singapura berkata, arwah sempat memberitahu mengenai kemalangan berkena­an sebelum memintanya dan adik-beradik lain pulang.

Mohd. Zaharudin memberi­tahu, suara bapanya tidak ke­dengaran dengan jelas menerusi panggilan video tersebut.

“Saya dengar arwah berkata ‘balik, balik, semua kena balik kampung’. Selepas itu, telefonnya seperti terjatuh sebelum se­orang wanita bercakap dan meminta kami bersabar.

“Wanita itu memberitahu ada kematian dalam kejadian ber­kenaan. Ketika itu, ayah masih ada.

“Saya terus pulang ke Johor Bahru selepas selesai kerja,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Sul­tanah Nora Ismail (HSNI), semalam.

Mohd. Zaharuddin tidak me­nyangka panggilan tersebut menjadi Kali terakhirnya berhu­bung dan mendengar suara ba­panya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu ibu dan bapanya adalah kira-kira dua hingga tiga minggu lalu.

“Semalam, sepatutnya giliran saya membawa mak ayah tinggal bersama-sama keluarga di Ulu Tiram, di sini. Saya rancang nak bawa mereka keluar makan-makan hari ini, tetapi tidak sempat.

“Allah lebih dahulu menjemput mereka. Ralat juga, tetapi kami reda dengan ketentuan ini,” katanya.

Semalam, Ab. Shukor dan isterinya, Mariam Ibrahim, 65, serta cucu mereka, Nur Umie Zahiyah Jumie, 5, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan.

Seorang lagi cucu pasangan itu, Muhammad Zaharil Hakimie Jumie, berusia setahun, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Parit Yaani, Yong Peng.

Semua mangsa menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger bersama-sama ahli keluarga mereka dari arah utara menghala ke selatan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dalam kejadian pukul 5.50 petang itu, siasatan mendapati Ford Ranger itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah treler.

Semua mereka cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – UTUSAN

The post ‘Ayah sempat buat panggilan video maklum terbabit kemalangan’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved