'Ayah sudah tiada tahun lepas, kini ibu pula'

1 Aug 2026 • 9:38 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Ayah sudah tiada tahun lepas, kini ibu pula'
Nur Kasih dan abangnya, Muhammad Aiman Ashraf tidak dapat menahan sebak ketika menunjukkan gambar arwah ibu dan adiknya yang maut dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Gua Sejuk, Gua Musang.
Image from: 'Ayah sudah tiada tahun lepas, kini ibu pula'
Allahyarham Maria dan anaknya, Muhammad Ziekur Iman maut dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Gua Sejuk, Gua Musang, pada Jumaat.

KOTA BHARU - "Ayah meninggal 30 Julai tahun lalu sebab serangan jantung, ibu pula 31 Julai semalam dalam kemalangan."

Demikian luahan pilu Nur Kasih Abli, 13, yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya dalam tempoh hanya setahun apabila ibunya, Maria Mohamad, 43, maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Gua Sejuk, Gua Musang, pada Jumaat.

Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, dia tidak pernah menyangka akan kehilangan dua insan tercinta dalam tempoh yang begitu singkat.

"Biasanya bila bangun pagi ibu ada, tapi hari ini saya hanya melihat jenazahnya.

"Saya tidak berani dan sangat sedih untuk melihat jenazah ibu lebih dekat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Tin, Melor di sini pada Sabtu.

**media[3601778]**

Dalam nahas kira-kira jam 7 pagi itu, kereta Perodua Myvi yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan serta bertembung dengan lori tangki 

Mangsa yang maut ialah Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim, 21, Maria serta anak lelakinya, Muhammad Ziekur Iman Abli, 11.

Sementara itu, anak sulung Maria iaitu Nur Balqis, 21, cedera parah di bahagian kepala dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Nur Kasih yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor berkata, kali terakhir dia berbual dengan ibunya pada Khamis lalu apabila diminta mengemas pakaian untuk bercuti ke Cameron Highlands, Pahang.

"Ibu bagi tahu kami akan bertolak jam 4 pagi dari rumah. Namun saya tidak dapat menyertai percutian ini kerana demam.

"Hanya ibu, kakak dan adik yang pergi, manakala saya dan abang tinggal di rumah," katanya.

Menurutnya, ibunya turut berjanji untuk membelikannya telefon baharu sebaik pulang daripada percutian kerana telefon yang digunakan kini sudah rosak.

Sementara itu, abang sulungnya, Muhammad Aiman Ashraf, 17, berkata, dia kini perlu memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga demi menjaga adik-beradik yang masih tinggal.

"Saya sudah tidak bersekolah sejak Tingkatan Tiga dan memilih untuk bekerja.

"Ayah sudah tiada tahun lepas, kini ibu pula. Walaupun sedih saya akan kuatkan semangat demi adik dan kakak," katanya.

Menurutnya, jenazah ibu dan adiknya akan dikebumikan pada jam 10.30 pagi di Tanah Perkuburan Islam Melor Lama di sini.

Katanya, mereka bersyukur kerana rumah keluarga terletak berhampiran kediaman nenek mereka, Rokiah Yusof.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved