Nahas maut: Tiga anak Allahyarham Maria kini yatim piatu

31 Jul 2026 • 10:50 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nahas maut: Tiga anak Allahyarham Maria kini yatim piatu

GUA MUSANG – Tiga beradik menjadi yatim piatu selepas ibu mereka maut dalam nahas yang mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Maria Yusoff, 42, dan anak bongsunya, Muhammad Ziekyr Iman Abli, 11, meninggal dunia di lokasi kemalangan selepas kereta jenis Perodua Myvi yang mereka naiki dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah treler membawa muatan diesel.

Adik kepada Allahyarham Maria, Mohamad Faizol, 34, berkata, tragedi itu amat memilukan kerana bulan ini genap setahun pemergian suami arwah yang meninggal dunia akibat sakit sekali gus menyebabkan tiga anak Maria yang berusia 21, 17 dan 13 tahun menjadi yatim piatu.

“Saya amat terkilan kerana tidak sempat menjawab panggilan telefon kakak kira-kira pukul 9 malam semalam kerana sudah tertidur.

“Kakak seorang yang periang dan peramah. Kebiasaannya, dia akan memberitahu jika ingin ke sesuatu tempat. Tetapi, saya tidak tahu dia akan ke Cameron Highlands, Pahang hari ini. Mungkin semalam dia membuat panggilan video untuk memaklumkan, namun saya tidak sempat bercakap dengannya,” katanya.

Mohamad Faizol memberitahu, dua lagi anak arwah tidak menyertai percutian selama sehari itu dan berada di kampung ketika kejadian berlaku.

Katanya, jenazah Maria dan Muhammad Ziekyr dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Tin, Melor, Kota Bharu.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang ibu dan anak lelakinya antara tiga mangsa yang disahkan maut dalam nahas sebuah kereta bertembung dengan treler tangki diesel di Kilometer 25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini. – KOSMO! ONLINE

The post Nahas maut: Tiga anak Allahyarham Maria kini yatim piatu appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved