
GUA MUSANG – Polis menggempur kawasan yang dipercayai menjadi lokasi tumpuan lumba haram di Jalan Persiaran Raya di sini awal pagi ini sebelum mengeluarkan 57 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Operasi Op Samseng Jalanan yang bermula kira-kira pukul 2 pagi itu dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang susulan aduan orang awam mengenai kegiatan samseng jalanan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, dalam operasi membabitkan seorang pegawai dan enam anggota itu, polis mengesan sebuah motosikal ditunggang secara berbahaya dan dipercayai melakukan aksi menguji kelajuan di jalan raya awam.
Katanya, penunggang terbabit bertindak melarikan diri sebaik diarahkan berhenti sebelum dikejar pasukan polis.
“Suspek kemudian hilang kawalan dan terbabas ke dalam kawasan semak sebelum berjaya ditahan. Seorang remaja lelaki tempatan berusia 17 tahun ditahan bagi membantu siasatan, manakala motosikal yang digunakan turut dirampas.
“Sepanjang operasi itu, pihak polis memeriksa seramai 22 individu dan 18 buah motosikal. Sebanyak 57 saman atas pelbagai kesalahan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Port’ lumba haram Gua Musang digempur appeared first on Kosmo Digital.






