Perhilitan rampas pelbagai bahagian harimau, beruang, ular bernilai RM36.8 juta

LocalEnvironment
7 Apr 2026 • 8:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pelbagai bahagian hidupan liar bernilai RM36.8 juta dirampas selepas sebuah premis kediaman di Taman Johor Jaya diserbu. - Foto Perhilitan

JOHOR BAHRU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas pelbagai bahagian hidupan liar bernilai RM36.8 juta selepas menyerbu sebuah premis kediaman di Taman Johor Jaya di sini Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemukan 602 biji hempedu ular sawa, 420 biji hempedu beruang dan 107 ketulan mampat bahagian harimau.

Selain itu, pihaknya turut menemui 135 ketulan mampat bahagian primat dan 191 batang disyaki bahagian syawat ular sawa.

"Semua bahagian hidupan liar tersebut disita dan dibawa balik ke pejabat Jabatan Perhilitan Negeri Johor untuk tindakan selanjutnya. Nilai sitaan semua barang kes dianggarkan RM36,842,325.

"Rumah berkenaan dihuni seorang lelaki warganegara Vietnam. Lelaki Vietnam tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen menyimpan yang sah daripada Jabatan Perhilitan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu menyimpan bahagian hidupan liar tanpa kebenaran yang sah di bawah Seksyen 60 dan Seksyen 68.

Dalam pada itu, Perhilitan memberi amaran kepada mana-mana individu yang menyimpan atau menjalankan aktiviti jenayah hidupan liar agar menghentikan aktiviti terbabit atau bakal berdepan tindakan undang-undang yang tegas.