
KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik digesa menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pemisahan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang disifatkan mampu membawa lebih banyak kebaikan kepada negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pemisahan kuasa itu juga mampu membantu mengurangkan persepsi mengenai pendakwaan bermotifkan politik dalam sesuatu kes.
“Saya merayu kalau boleh kepada semua Ahli Parlimen. Rang undang-undang yang kita buat ini sesuatu yang baik.
“Dan ini boleh mengurangkan sedikit persepsi pendakwaan politik dalam mana-mana kes,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Tinjauan Pendapat Awam Mengenai Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Koroner di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun depan.
Jemaah Menteri juga telah bersetuju menerima pakai model pengasingan sepenuhnya, dengan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya dipegang oleh dua individu berbeza yang mempunyai kedudukan setara.
Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) pula dijangka dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Parlimen tahun depan, sekali gus membuka laluan kepada pemisahan kedua-dua peranan berkenaan.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, beliau berharap RUU Pemisahan Kuasa itu mendapat sokongan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta dialu-alukan semua parti politik.
“Harap sangatlah. Dewan Rakyat, Dewan Negara dan mana-mana parti politik mesti mengalu-alukan Rang Undang-Undang Pemisahan ini sebab ia membawa lebih banyak kebaikan daripada keburukan. Ia adalah untuk negara kita.
“Dan saya tak mahu lagi dengar orang cakap bila kena dakwa, dikaitkan dengan politik,” katanya. – UTUSAN
CAPTION
AZALINA OTHMAN SAID
The post Azalina rayu Ahli Parlimen sokong pemisahan kuasa AG-Pendakwa Raya appeared first on Utusan Malaysia.






