
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sudah siap dan bersedia untuk dibawa ke peringkat bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan sama ada RUU itu akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang bagaimanapun tertakluk kepada Ketua Majlis, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“RUU hadkan tempoh masa Perdana Menteri sudah siap semuanya.
“Tertakluk kepada Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri, sama ada kita hendak bawa untuk diundikan dalam sesi ini (Parlimen),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Tinjauan Pendapat Awam Mengenai Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Koroner di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.
Azalina berkata, cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri melibatkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, katanya, pindaan berkenaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen sebelum boleh diluluskan.
Menurut beliau, keperluan sokongan dua pertiga itu turut terpakai kepada RUU berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Terdahulu, Azalina turut merayu semua ahli Parlimen tanpa mengira parti politik supaya menyokong RUU Pemisahan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Katanya, langkah itu bukan sahaja membawa lebih banyak kebaikan kepada negara, malah boleh membantu mengurangkan persepsi berhubung pendakwaan bermotifkan politik dalam sesuatu kes.
“Saya merayu kalau boleh kepada semua ahli Parlimen. Rang undang-undang yang kita buat ini sesuatu yang baik dan ini boleh mengurangkan sedikit persepsi pendakwaan politik dalam mana-mana kes,” katanya. – UTUSAN
The post RUU had tempoh PM siap, tunggu keputusan Ketua Majlis appeared first on Utusan Malaysia.






