Azam Baki digesa letak jawatan - PAC

LocalPolitics
11 Feb 2026 • 2:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mas Ermieyati

SHAH ALAM - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki digesa meletakkan jawatan sekiranya benar terdapat pemilikan saham melebihi had ditetapkan bagi penjawat awam atau wujud ketidakpatuhan kepada garis panduan perkhidmatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, gesaan terbabit dibuat demi memelihara kredibiliti SPRM.

"Sebagai individu mengetuai institusi terpenting dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa, sebarang persoalan berkaitan pematuhan kepada peraturan perkhidmatan awam, had pemilikan saham serta potensi konflik kepentingan tidak boleh dipandang ringan.

"SPRM adalah institusi yang bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan rakyat. Integriti kepimpinannya mesti berada pada tahap tertinggi bukan sahaja bebas daripada salah laku, tetapi juga bebas daripada sebarang persepsi meragukan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, media antarabangsa Bloomberg melaporkan Azam didakwa memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Ia sekali gus pendedahan awam pertama mengenai pegangan saham besar atas namanya sejak kontroversi beberapa tahun lalu berhubung pegangan sahamnya yang mencetuskan protes menuntut beliau meletakkan jawatan.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berpandangan, Malaysia memerlukan SPRM yang bukan sahaja tegas, tetapi juga bersih tanpa sebarang keraguan.

"Kepercayaan rakyat adalah asas kepada kekuatan institusi," tegas beliau lagi.