Azam Baki nafi penglibatan dengan kontrak RM178.29 juta dimenangi syarikat dikaitkan adiknya

LocalPolitics
21 Jul 2026 • 9:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Azam Baki nafi penglibatan dengan kontrak RM178.29 juta dimenangi syarikat dikaitkan adiknya Image from: Azam Baki nafi penglibatan dengan kontrak RM178.29 juta dimenangi syarikat dikaitkan adiknya hamden21/07/2026 - 09:33

KUALA LUMPUR 21 Julai - Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menafikan sebarang penglibatan dengan kontrak bernilai RM178.29 juta yang dianugerahkan kepada Integriti Padu Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang dikaitkan dengan adiknya, Datuk Nasir Baki.

 

Mengulas laporan yang diterbitkan The Edge Malaysia, Azam menegaskan tidak mengetahui mengenai perkara itu dan menjelaskan urusan perniagaan adiknya adalah perkara yang berasingan serta tidak mempunyai sebarang kaitan dengannya.

 

"Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini. Itu adalah urusan perniagaannya.

 

 

 

 

 

"Adakah ini bermakna sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan dengan saya akan dipersoalkan?

 

"Saya sudah bersara dan terpulang kepada Kementerian Pengangkutan untuk menganugerahkan projek itu kepada syarikatnya," katanya lapor New Straits Times.

 

Menurut laporan The Edge, Kementerian Pengangkutan telah menganugerahkan kontrak bernilai RM178.29 juta itu kepada Integriti Padu pada 26 Mei lalu selepas proses Permintaan Cadangan (RFP) yang dikeluarkan pada Jun tahun lalu.

 

Kontrak selama enam tahun itu melibatkan pembangunan, pengoperasian dan penyelenggaraan sistem Road Charge (RC) dan Vehicle Entry Permit (VEP) di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura.

 

Laporan itu turut menyatakan bahawa Pengerusi Eksekutif Integriti Padu ialah Datuk Nasir Baki, yang merupakan adik kepada Azam.

 

Azam, yang menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 12 Mei lalu, turut mempertahankan ahli keluarganya daripada menjadi sasaran penelitian hanya kerana mempunyai pertalian dengannya.

 

"DNA keluarga saya semuanya baik. Saya juga mempunyai seorang kakak yang merupakan pakar telinga, hidung dan tekak yang terkenal di negara ini.

 

"Adakah ini bermakna beliau juga akan menjadi perhatian? Sesiapa yang mahu selamat, janganlah mendekati saya," katanya.

 

Sepanjang tempoh menerajui SPRM, Azam pernah berdepan kontroversi berkaitan pegangan sahamnya selepas timbul dakwaan pada penghujung 2021 bahawa beliau memiliki jutaan saham dan waran dalam beberapa syarikat tersenarai awam ketika masih berkhidmat sebagai penjawat awam kanan.

 

Pada Januari 2022, beliau menafikan sebarang salah laku dengan menjelaskan bahawa saham berkenaan dibeli oleh adiknya menggunakan akaun dagangan miliknya.

 

 

 

 

 

 

Awal tahun ini, Azam sekali lagi menjadi perhatian susulan laporan Bloomberg yang mendakwa wujud ketidakaturan melibatkan pegangan sahamnya dalam sebuah syarikat tersenarai awam ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

 

Susulan laporan itu, beliau telah memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap Bloomberg. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved