Azam ingatkan pegawai beri kerjasama penuh kepada kepimpinan baharu

LocalPolitics
12 May 2026 • 6:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Azam ingatkan pegawai beri kerjasama penuh kepada kepimpinan baharu
Azam ketika berucap pada Majlis Penghargaan Khas pada Selasa.

PUTRAJAYA - Tan Sri Azam Baki mahu pegawai dan anggotanya untuk terus memberikan kerjasama penuh kepada kepimpinan baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan atau mensabotaj suruhanjaya itu.

Azam yang menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya pada Selasa berkata, semangat kebersamaan atau esprit de corps dalam SPRM adalah perlu bagi memastikan suruhanjaya itu kekal relevan dan berjaya dalam agenda pembanterasan rasuah.

“Kalau sekiranya pegawai-pegawai (SPRM) tidak memberi kerjasama, (ia) bermakna mereka mensabotaj organisasi itu sendiri.

“Ini penting (untuk beri kerjasama). Dalam mana-mana organisasi mesti kita semua taat kepada pemimpin walaupun pemimpin itu bukan kehendak kita dan sebagainya.

“Bila datang kepimpinan baru, ini yang saya tekankan kerana pengalaman saya dahulu... datanglah siapa pun jadi ketua, kita akan taat kerana kita remain here sebagai pegawai yang akan berkhidmat untuk rakyat dan negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penghargaan Khas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Selasa.

Tambah Azam, beliau mahu warga SPRM meneruskan usaha dan tindakan berkesan dalam membanteras rasuah sehingga peringkat akar umbi.

Jelasnya, perkara paling penting ialah organisasi ini kekal relevan sepertimana yang dibina dahulu oleh kepimpinan yang terdahulu dan saya hanya sebagai manusia untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan demi untuk negara dan juga rakyat.

Dalam pada itu, Azam turut merakamkan penghargaan kepada warga media yang memainkan peranan membantu dalam menyalurkan maklumat serta menyokongnya sepanjang memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"Saya memang amat-amat terharu di atas sokongan semua rakan media sama ada media portal, media elektronik, mainstream dan sebagainya," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangannya selepas bersara, Azam berkata beliau akan terus berkhidmat dan bekerja selagi tenaga dan khidmatnya diperlukan dalam apa jua kapasiti yang bersesuaian.

Ujar Azam, sekiranya tidak lagi berada dalam perkhidmatan awam, beliau akan memberi tumpuan dalam memanfaatkan keluarga serta masyarakat.

Dalam masa sama, Azam memaklumkan tidak menerima sebarang tawaran daripada pihak luar, selain menegaskan tidak akan terlibat dalam dunia politik.

“Tidak, saya tidak menerima apa-apa tawaran daripada mana-mana pihak luar, jauh sekali untuk menjadi ahli politik,” ujarnya.

Azam yang dilahirkan pada 12 Mei 1963 di Negeri Sembilan telah menggalas pelbagai jawatan penting dalam SPRM.

Antaranya Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Siasatan serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) sebelum dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mac 2020.

Azam yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Jurisprudens (Eksternal) dari Universiti Malaya telah memulakan kerjaya sebagai Pegawai Siasatan di Ibu Pejabat Badan Pencegahan Rasuah (BPR) pada 8 Mei 1985 sebelum agensi penguatkuasa ini dinaik taraf sebagai Suruhanjaya pada 2009.