Azam Ubah Nasib Keluarga, Nur Syafienaz Anak Orang Asli Kelantan Pertama Raih 8A

24 Apr 2025 • 11:36 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang pelajar Orang Asli dari suku kaum Temiar mencipta sejarah apabila menjadi anak Orang Asli Kelantan pertama memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Nur Syafienaz Nazri, 18, yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya, berjaya membuktikan bahawa latar belakang keluarga dan lokasi kediaman bukan penghalang untuk mencapai kejayaan dalam akademik.

image is not available

Nur Syafienaz Anak Orang Asli Kelantan Pertama Raih 8A

Membesar di Kampung Merlong, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, Nur Syafienaz merupakan satu-satunya calon dalam kalangan lapan pelajar Orang Asli di Kelantan yang lulus semua mata pelajaran dan mencatat keputusan 8A.

“Saya mahu buktikan pada komuniti saya bahawa kita juga boleh berjaya. Ini langkah pertama saya untuk capai cita-cita sebagai guru,” katanya ketika ditemui pemberita di SMK Panggung Jaya, di sini, hari ini.

image is not available

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil disiplin diri, fokus dalam pelajaran serta sokongan berterusan daripada guru, rakan dan ahli keluarga, terutamanya ibunya yang bekerja sebagai tukang jahit.

“Saya mahu ubah nasib keluarga dan ibu telah banyak berkorban. Saya pegang azam itu sejak Tingkatan Satu lagi,” katanya lagi.