Azan Subuh laungan terakhir bilal sebelum maut kemalangan

26 Sep 2026 • 12:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Azan Subuh laungan terakhir bilal sebelum maut kemalangan
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Foto tular

SUNGAI PETANI - Laungan azan Subuh yang berkumandang di Surau Darul Hannan, Taman Rasa Sayang, Bedong pada pagi Sabtu menjadi laungan terakhir seorang bilal sebelum maut dalam kemalangan beberapa jam kemudian.

Mangsa yang dikenali sebagai Malik, 79, dilaporkan meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di lampu isyarat Bedong di sini.

Menurut perkongsian di media sosial, Allahyarham merupakan bilal di Surau Darul Hannan dan dikenali dalam kalangan ahli kariah kerana menjalankan tugas melaungkan azan di surau berkenaan.

Lebih menyentuh hati, azan Subuh yang dikumandangkan Allahyarham pada pagi kejadian dikatakan menjadi laungan terakhirnya sebelum terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Berita pemergian Allahyarham turut mendapat perhatian orang ramai khususnya mereka yang mengenalinya, dengan rata-rata menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Mereka turut mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Dalam pada itu, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan keadaan sebenar kemalangan tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved