KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang direman dua hari bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan pemberian hibah TH tidak disambung reman selepas tempoh itu tamat pada Khamis.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, Abdul Azeez dijangka dilepaskan kira-kira jam 5 petang.
Menurut Amer, polis telah memohon untuk menyambung reman selama tiga hari, namun pihaknya telah membantah keras-kerasnya terhadap lanjutan reman tersebut atas alasan bahawa semuanya boleh dilakukan tanpa memerlukan mana-mana OYDS (orang yang disyaki) untuk ditahan reman.
"Kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama untuk memberi kerjasama sekiranya diperlukan.
"Jadi, kalau ada keperluan untuk hadir bagi tujuan membantu siasatan, beliau (Abdul Azeez) bersedia untuk tampil, jadi tidak perlu untuk ditahan lagi," katanya kepada pemberita selepas hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini pada Khamis.
Beliau berkata, Abdul Azeez telah melengkapkan keterangannya sepanjang dua hari proses reman untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, bekas Ahli Parlimen Baling itu sudah lebih 10 kali memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan bagi sesi ini, beliau telah pun memberikan keterangan.
"Sesi ini, beliau bagi kerjasama yang sangat baik kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman. Kalau ada keperluan, beliau sedia dipanggil ke Bukit Aman atau mana-mana balai lain untuk bantu siasatan.
"Tak ada keperluan untuk ditahan reman lagi," ujarnya.
Sebelum itu, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat dengan gaji RM690,000, 12 tahun lalu.
Bekas Ahli Parlimen Baling itu dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Pada hari sama beliau dan dua bekas pegawai TH direman dua hari bagi membantu siasatan polis kes penipuan berkaitan pemberian hibah TH.
Dalam pada itu, Ameer turut membangkitkan isu pakaian lokap dan gari terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu.
"Perkara itu berlaku disebabkan anak guamnya ketika itu berada di bawah tahanan dan jagaan pihak polis bagi prosiding reman berkenaan.
"Pihak pembelaan mematuhi tatacara pengendalian piawai (SOP) pihak polis yang menetapkan mana-mana individu di bawah tahanan reman perlu memakai baju lokap dan digari apabila dibawa ke mana-mana lokasi.
"Anak guam kami hanya mengikut arahan dan SOP yang ditetapkan oleh pihak polis. Oleh itu, tidak timbul isu wujudnya sebarang pilihan pakaian kerana beliau ketika itu sedang menjalani tahanan reman oleh polis," katanya.






