johardy08/10/2026 - 15:05 Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Okt - Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang didakwa membatalkan perjanjian penyelesaian cukai walaupun beliau sudah membayar cukai dan penalti berjumlah RM4.8 juta.
Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan itu dengan alasan tindakan Azeez terlalu awal kerana siasatan masih berjalan dan belum ada taksiran cukai baharu dikeluarkan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Indra Nehru Savandiah mendengar permohonan tersebut pada Khamis dan menetapkan 11 November untuk memutuskan sama ada Azeez diberikan kebenaran meneruskan semakan kehakiman.
Menurut dokumen mahkamah yang dipetik The Edge, permohonan bertarikh 6 September itu bertujuan mengetepikan keputusan LHDN yang didakwa membatalkan secara sepihak perjanjian bertarikh 9 Februari 2022 dan notis taksiran komposit bertarikh 22 Mac 2022.
Perjanjian dan taksiran tersebut meliputi tahun taksiran 2011 hingga 2020. Bekas Ahli Parlimen Baling itu berhujah bahawa kedua-duanya adalah muktamad di sisi undang-undang dan turut memohon perintah mahkamah supaya LHDN mematuhi perjanjian berkenaan.
Azeez berkata, perjanjian itu dicapai selepas LHDN menjalankan siasatan cukai terhadapnya pada penghujung 2021 atau awal 2022. Menurutnya, kedua-dua pihak bersetuju beliau membayar RM4.8 juta dalam bentuk cukai dan penalti.
Azeez dakwa bayaran sudah dijelaskan
Beliau mendakwa sudah menjelaskan keseluruhan jumlah tersebut secara ansuran seperti yang dipersetujui, tetapi kemudian menerima surat bertarikh 7 Ogos 2026 daripada Seksyen Pematuhan Strategik LHDN Negeri Sembilan yang memaklumkan pembatalan perjanjian dan taksiran komposit itu.
Menurut Azeez, surat berkenaan turut disertakan notis yang menghendakinya hadir untuk ditemu bual dan memberikan maklumat bagi tahun taksiran 2014 hingga 2025. Beliau juga menerima notis tambahan berkaitan undang-undang pencegahan pengubahan wang haram.
Peguam Kanan Persekutuan, Ng Siew Wee yang mewakili AGC berhujah bahawa permohonan Azeez bersandarkan andaian bahawa pembatalan tersebut akan disusuli taksiran cukai baharu atau tambahan serta tindakan penguatkuasaan.
Menurutnya, surat itu tidak mengarahkan Azeez membayar cukai tambahan atau menetapkan sebarang jumlah tambahan. Tiada taksiran baharu dikeluarkan ketika permohonan difailkan, manakala notis untuk mendapatkan maklumat dan menjalankan siasatan itu tidak dengan sendirinya menentukan tanggungan cukai beliau.
Pasukan peguam Azeez diketuai Nicholas Mark Pereira, Datuk Amer Hamzah Arshad dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad. LHDN pula diwakili Peguam Kanan Hasil, Marina Ibrahim. — DagangNews.com






