Permohonan Azeez Rahim cabar keputusan berhubung LHDN diketahui 11 November

LocalPolitics
8 Oct 2026 • 4:22 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Permohonan Azeez Rahim cabar keputusan berhubung LHDN diketahui 11 November

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 11 November ini bagi keputusan permohonan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang membatalkan persetujuan penyelesaian cukai dan penalti berjumlah RM4.8 juta.

Hakim S. Indra Nehru menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak hari ini.

Terdahulu semasa prosiding, peguam, Nicholas Mark Pereira yang mewakili Abdul Azeez berhujah, pembatalan berkenaan boleh dicabar kerana Seksyen 96A(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 menetapkan taksiran komposit sebagai muktamad dan konklusif.

“Anak guam telah menjelaskan RM4.8 juta seperti dipersetujui, namun perjanjian itu dibatalkan tanpa penjelasan terperinci mengenai fakta baharu yang dikatakan ditemui oleh LHDN.

“Jadi, pihak pemohon turut memohon perintah penangguhan sementara bagi menghalang LHDN daripada meneruskan tindakan penyiasatan atau penguatkuasaan berkaitan perkara itu sementara menunggu keputusan semakan kehakiman,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, ‘status quo’ atau keadaan sekarang perlu dikekalkan.

Dalam pada itu, peguam Kanan Persekutuan, Ng Siew Wee kemudian berhujah bahawa, setakat ini Abdul Azeez tidak diarahkan membayar sebarang jumlah cukai tambahan.

Semasa prosiding Peguam Kanan Hasil, Marina Ibrahim hadir bagi pihak LHDN.

Terdahulu bekas Ahli Parlimen Baling berusia 60 tahun itu memohon kepada mahkamah pada 6 September lalu, supaya keputusan LHDN memansuhkan perjanjian penyelesaian bertarikh 9 Februari 2022 serta notis taksiran komposit bertarikh 22 Mac 2022 bagi tahun taksiran 2011 hingga 2020 dibatalkan.

Berdasarkan dokumen mahkamah, Abdul Azeez mendakwa LHDN menjalankan siasatan cukai terhadapnya pada penghujung 2021 atau awal 2022 sebelum kedua-dua pihak mencapai persetujuan pada empat tahun lalu.

Menurutnya, persetujuan itu menetapkan beliau perlu membayar cukai dan penalti berjumlah RM4.8 juta bagi tahun taksiran 2011 hingga 2020 secara ansuran.

Beliau kemudian mendakwa telah menyelesaikan bayaran tersebut mengikut persetujuan yang dicapai.

Bagaimanapun, Abdul Azeez mendakwa menerima surat bertarikh 7 Ogos lalu, daripada Bahagian Pematuhan Strategik LHDN Negeri Sembilan yang memaklumkan keputusan untuk membatalkan persetujuan dan notis taksiran komposit berkenaan.

Beliau turut menerima notis daripada LHDN untuk menghadiri temu duga dan memberikan maklumat berkaitan tahun taksiran 2014 hingga 2025.

Abdul Azeez mendakwa menerima beberapa notis tambahan daripada LHDN yang berkaitan dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA). – KOSMO! ONLINE

The post Permohonan Azeez Rahim cabar keputusan berhubung LHDN diketahui 11 November appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved