Azeez Rahim mohon cabar LHDN batal perjanjian penyelesaian cukai

LocalPolitics
8 Oct 2026 • 4:42 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Azeez Rahim mohon cabar LHDN batal perjanjian penyelesaian cukai

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membatalkan perjanjian penyelesaian cukai pendapatan dan penalti berjumlah RM4.8 juta.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan Abdul Azeez, 60, pada 6 September lalu dengan menamakan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) sebagai responden tunggal selepas agensi terbabit bertindak perjanjian penyelesaian bertarikh 9 Februari 2022 itu secara sebelah pihak (ex-parte).

Menurut afidavit sokongan, Abdul Azeez yang juga bekas Ahli Parlimen Baling mendakwa keseluruhan jumlah penalti bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2020 itu telah dilunaskan secara beransur-ansur mengikut perjanjian yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Namun, pada 7 Ogos lalu, LHDN membatalkan perjanjian tersebut dan mengeluarkan notis baharu yang mengarahkannya hadir bagi membantu siasatan bagi Tahun Taksiran 2014 hingga 2025.

Peguam Nicholas Mark Pereira yang mewakili Abdul Azeez berhujah, pembatalan itu boleh dicabar kerana Seksyen 96A(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 menetapkan taksiran komposit sebagai muktamad dan konklusif.

“Anak guam kami sudah menjelaskan keseluruhan RM4.8 juta seperti dipersetujui, namun perjanjian itu dibatalkan tanpa penjelasan terperinci mengenai fakta baharu yang dikatakan ditemui oleh LHDN,” katanya.

Turut mewakili Abdul Azeez selaku pemohon, peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad berhujah bahawa status quo perlu dikekalkan memandangkan keabsahan undang-undang untuk membatalkan perjanjian berkenaan dipersoalkan.

Pemohon turut memohon perintah penangguhan bagi menghalang LHDN daripada meneruskan siasatan sementara menunggu keputusan semakan kehakiman.

Mendengar perkara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Ng Siew Wee yang mewakili LHDN membantah permohonan kebenaran itu atas alasan ia dibuat secara pramatang.

Katanya yang turut dibantu oleh Peguam Kanan Hasil, Marina Ibrahim, surat LHDN bertarikh 7 Ogos lalu hanya sebahagian daripada proses siasatan yang masih berjalan dan belum menetapkan sebarang liabiliti cukai baharu.

Hakim Mahkamah Tinggi, S. Indra Nehru kemudian menetapkan keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman berkenaan pada 11 November ini.

Berdasarkan dokumen mahkamah, LHDN pernah menjalankan siasatan cukai terhadap Abdul Azeez antara pertengahan 2018 hingga awal 2022.

Siasatan itu membawa kepada perjanjian penyelesaian bertarikh 9 Februari 2022 di bawah Seksyen 96A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, yang menetapkan jumlah tunggakan sebanyak RM4.8 juta.

Abdul Azeez menegaskan beliau telah melunaskan seluruh tunggakan itu menerusi 25 keping cek tertangguh secara ansuran bulanan seperti yang dipersetujui.

Bagaimanapun, LHDN bertindak membatalkan perjanjian itu atas alasan penemuan fakta dan pendapatan baharu.

Agensi itu turut mengeluarkan notis di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLATFPUAA) yang mewajibkan beliau mengemukakan penyata perbelanjaan peribadi dan pengisytiharan kedudukan modalnya. – UTUSAN

The post Azeez Rahim mohon cabar LHDN batal perjanjian penyelesaian cukai appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved