Azizan Osman saman balas lebih RM24 juta terhadap Jerry Rizal

LocalBusiness & Finance
16 Jun 2025 • 3:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Azizan Osman saman balas lebih RM24 juta terhadap Jerry Rizal

image is not available

16/06/2025 - 15:31

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jun - Pengasas Richworks Academy Sdn Bhd, Datuk Azizan Osman telah mengemukakan saman balas berjumlah lebih RM24 juta terhadap bekas pengarah syarikat, Datuk Zafrol Rizal Mat pada Jumaat lalu.

Pada masa sama, beliau beliau juga telah memfailkan penyataan pembelaan terhadap writ saman berjumlah lebih RM24 juta yang dikemukakan Zafrol atau lebih dikenali sebagai Jerry Rizal.

Tuntutan balas itu dibuat berasaskan surat tuntutan rasmi yang telah dihantar kepada plaintif lebih awal daripada tarikh saman dikemukakan.

“Kebenaran tidak memerlukan tergesa-gesa tetapi keteguhan dan bukti. Pada hari Jumaat, 13 Jun 2025, pihak kami telah memfailkan penyataan pembelaan terhadap tuntutan plaintif di mahkamah.

“Pada masa yang sama, kami membuat tuntutan balas terhadap plaintif. Tuntutan balas tersebut adalah untuk jumlah yang lebih besar daripada saman plaintif. Asas tuntutan balas kami ialah surat tuntutan terhadap plaintif bertarikh 11 April 2025 yang mendahului tarikh saman plaintif,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, satu writ saman telah difailkan terhadap Azizan, isterinya Datin Wira Hasdiana Ahmad dan Pengarah Eksekutif Richworks, Hasnita Ahmad yang kemudiannya disebarkan secara terbuka oleh individu terbabit kepada umum.

Menerusi saman itu, plaintif mengemukakan 18 tuntutan meliputi pendapatan, pendahuluan pinjaman, tunggakan kad-kad kredit, perbelanjaan bagi hartanah di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah, terapi dan persekolahan anak Azizan serta ganti rugi teladan, ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk.

Selain itu, Jerry Rizal juga menuntut deklarasi daripada defendan secara bersama atau berasingan bagi pemilikan harta atau pindah milik hartanah melibatkan sebuah Toyota Alphard, Ferrari Roma, sebuah unit kondominium di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, jam tangan Hublot Spirit of Big Bang dan Rolex Datejust serta cincin Habib Jewels satu karat.

Azizan berkata, tindakan undang-undang yang diambil mencerminkan komitmen pihaknya untuk mempertahankan hak, integriti dan kebenaran melalui saluran yang sah berdasarkan fakta dan bukti kukuh.

“Kami percaya pertikaian sebegini wajar diselesaikan secara profesional di mahkamah bukan melalui media sosial. Kami tidak akan terlibat dalam sebarang provokasi, fitnah atau drama yang boleh mengganggu perjalanan kes, sebaliknya kekal fokus kepada prinsip keadilan, ketelusan dan maruah.

“Kami juga ingin memberi jaminan kepada para pelanggan, rakan kongsi dan masyarakat umum bahawa operasi serta komitmen kami di Richworks Academy akan terus berjalan seperti biasa. Misi kami untuk memperkasa usahawan di seluruh negara tidak akan terhenti,” katanya.

Dalam pada itu, Azizan turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pihaknya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus melangkah ke hadapan dengan tenang, yakin dan percaya sepenuhnya kepada sistem keadilan negara. - DagangNews.com

featured standard