Azizulhasni belum mengalah buru LA28

20 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Azizulhasni belum mengalah buru LA28

PETALING JAYA: Kegagalan di Kejohanan Dunia Berbasikal Trek di Shanghai, China, tidak memadamkan tekad jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk meneruskan misi memburu slot ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pelumba berusia 38 tahun itu menegaskan perjuangan menuju temasya terbesar dunia itu bukan digalasnya seorang, sebaliknya memerlukan sumbangan seluruh barisan pelumba negara yang turut memburu tiket kelayakan dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Untuk makluman semua, misi Malaysia memburu kelayakan ke Sukan Olimpik LA28 bukan hanya tertumpu kepada saya seorang, tetapi turut membabitkan atlet lain seperti (Muhammad) Shah Firdaus Sahrom, Nurul Izzah Izzati (Mohd Asri) dan Nur Alyssa (Mohd Farid) bagi acara individu.

“Selain Anis (Amira Rosidi) dan Nurul Aliana (Syafika Azizan) dalam pecut berpasukan wanita,” kata Azizulhasni dalam laman Facebook miliknya, semalam.

Pada Kejohanan Dunia di Shanghai minggu lalu, Azizulhasni gagal melepasi suku akhir keirin selepas menamatkan perlumbaan di tempat keenam, sebelum langkahnya dalam acara pecut individu turut terhenti pada pusingan kedua.

Dalam penilaiannya terhadap aksi keirin, pelumba berusia 38 tahun itu mengakui sasaran peribadinya untuk mara ke pusingan akhir tidak kesampaian, namun beliau tetap melihat kejohanan itu sebagai sebahagian daripada usaha mengumpul mata kelayakan Olimpik.

“Dalam acara keirin, saya sedikit terkilan kerana terlepas peluang melayakkan diri ke pusingan separuh akhir, sedangkan sasaran peribadi saya sudah tentu untuk berada di pusingan akhir.

“Jika tidak berlaku dua himpitan tersebut, terutamanya himpitan besar itu, saya yakin dapat melangkah ke pusingan seterusnya.

“Namun itulah lumrah dalam acara keirin dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku apabila enam pelumba berlumba serentak, dan saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas prestasi tersebut,” katanya.

Walaupun kecewa dengan keputusan di Shanghai, Azizulhasni menyifatkan musim ini sebagai antara yang terbaik dalam kariernya selepas meraih dua pingat emas Piala Dunia di Perth dan Nilai, selain masing-masing satu emas dalam acara keirin pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia. – UTUSAN

The post Azizulhasni belum mengalah buru LA28 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved