
KUALA LUMPUR – Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang terus membuktikan kehebatannya apabila menambah koleksi pingat pada Siri UCI Track Cycling World Cup di Perth, Australia dengan meraih pingat gangsa acara pecut individu.
Kejayaan itu diraih selepas pelumba yang dikenali dengan gelaran The Pocket Rocketman tersebut menewaskan pelumba Israel, Mikhail Yakovlev dengan keputusan 2-0 dalam perlumbaan penentuan tempat ketiga.
Walaupun Yakovlev memiliki kelebihan fizikal yang lebih tinggi serta mencatat masa kedua terpantas dalam sesi kelayakan iaitu 9.515 saat, Azizulhasni yang menamatkan kelayakan di tempat keempat dengan catatan 9.702 saat tetap tampil tenang sebelum mempamerkan taktikal yang kemas untuk memastikan kemenangan.
Impian Emas Tersekat Di Separuh Akhir
Terdahulu, hasrat Azizulhasni untuk memburu pingat emas tidak kesampaian selepas tewas 0-2 kepada pelumba Australia, Matthew Richardson pada peringkat separuh akhir.
Richardson kemudian meneruskan rentak cemerlang apabila muncul juara selepas menewaskan rakan senegara, Leigh Hoffman dengan keputusan 2-0 pada aksi final.
Semalam, pelumba kelahiran Terengganu itu mencuri tumpuan apabila menghadiahkan pingat emas buat negara dalam acara keirin selepas berjaya menewaskan Richardson di pentas final.
Cabaran Pelumba Wanita Berakhir Awal
Sementara itu, cabaran kem wanita negara dalam acara keirin tidak kesampaian apabila dua pelumba muda negara, Nur Alyssa Farid dan Izzah Izzati Asri gagal melepasi pusingan pertama repechage.
Keputusan itu sekali gus menamatkan cabaran kedua-dua pelumba berkenaan lebih awal dalam kejohanan tersebut. – The Malaysian Update
The post Azizulhasni Tambah Gangsa Di Perth, Tewaskan Pelumba Israel Dalam Pecut Individu appeared first on The Malaysian Update.
