Azizulhasni tepati ramalan raih emas keirin

2 Oct 2026 • 4:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Azizulhasni tepati ramalan raih emas keirin
Azizulhasni raih emas keirin di Sukan Asia Aichi-Nagoya.

DATUK Azizulhasni Awang menutup kekecewaan dalam acara pecut individu lelaki dengan penuh bergaya apabila meraih pingat emas keirin pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, hari ini.

Kemenangan di Velodrom Izu, Shizuoka itu menyaksikan Azizulhasni sekali lagi membuktikan pengalamannya apabila menewaskan pelumba China, Li Zhiwei yang terpaksa berpuas hati dengan perak.

Pelumba China, Xie Han, meraih gangsa manakala wakil negara, Shah Firdaus Sahrom, menamatkan saingan di tempat kelima.

Emas itu menyamai pencapaian Azizulhasni ketika memenangi keirin pada Sukan Asia Guangzhou 2010, selain emas pecut individu lelaki di Indonesia 2018.

Ia juga menjadi emas ketiga dalam penampilan kariernya di temasya Sukan Asia.

Pelumba berusia 38 tahun itu terlebih dahulu mengesahkan tiket ke final selepas memenangi saingan separuh akhir, mendahului pelumba Jepun, Minato Nakaishi, dan wakil Hong Kong, Yung Tsun Ho.

Shah Firdaus turut melangkah ke final selepas menduduki tempat ketiga dalam satu lagi separuh akhir yang menyaksikan dua pelumba China, Xie Han dan Li Zhiwei, masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua.

Prestasi Azizulhasni musim ini terus menyerlah apabila dia turut memenangi emas keirin pada Sukan Komanwel Glasgow pada Ogos lalu, selain meraih dua emas acara sama dalam siri Piala Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tahun ini. -end

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved