
SHAH ALAM – “Wahai adinda Menteri Besar, jangan gundah gulana.”
Itu pesanan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika landskap politik negara kembali hangat dengan pelbagai spekulasi mengenai penjajaran baharu parti politik.
Mohamed Azmin berkata, Amirudin perlu terus tenang dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan Selangor tanpa membenarkan polemik politik menjejaskan hala tuju negeri.
Malah, beliau menegaskan sokongannya kepada Amirudin untuk terus memacu pembangunan negeri.
“Anda tidak berseorangan. I am always here for Selangor!,” katanya pada sesi perbahasan Rancangan Selangor Ke-2 (RS-2) di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan Selangor perlu terus dibangunkan berasaskan penyatuan yang membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat, bukannya perpecahan atas nama kepentingan politik atau kaum.
Ini termasuk tidak membiarkan fahaman yang menghalalkan kleptokrasi dan kebobrokan atas nama penyatuan Melayu bertapak di negeri itu.
“Keadaan politik bertambah gila apabila ada pula kumpulan yang menghalalkan kleptokrasi, mengiyakan kebobrokan dengan fatwa baharu. Ini adalah proses memperbodohkan rakyat.
“Atas nama penyatuan Melayu kononnya, Melayu kini berpecah. Apabila Melayu berpecah, mereka salahkan kaum lain untuk menutup kepalsuan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin mahu pertumbuhan ekonomi terutama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor kekal tinggi untuk memastikan limpahan ekonomi ini dimanfaatkan oleh rakyat di Tanjong Karang, Kuala Selangor, Kuala Langat dan tidak tertumpu di Petaling Jaya dan Subang sahaja.
“Komunikasi yang betul dan tepat penting untuk rakyat memahami dan menerima baik dasar Kerajaan Negeri. Tingkatkan penerangan dan Unit Media Kerajaan Negeri.
“Saya bersedia untuk menyampaikan fakta ekonomi yang tepat kepada rakyat dalam memastikan kejayaan kita membina negeri Selangor yang maju dan makmur,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Azmin yang ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor enggan mengesahkan sama ada ucapan itu merupakan kiasan kepada jajaran politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.
” Saya tidak sebut pun apa-apa, cuma dia adinda sebab dia muda daripada saya.
“(Namun lihat gembira sahaja) Saya sentiasa happy dan kekal tenang, ” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Azmin titip jangan gundah gulana, adinda Amirudin appeared first on Kosmo Digital.






