Jangan tunggu undi baru selesaikan masalah Bukit Malut – Sanusi

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 3:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan tunggu undi baru selesaikan masalah Bukit Malut – Sanusi

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mahu isu penempatan dan kebajikan penduduk Bukit Malut, Langkawi diselesaikan secara menyeluruh tanpa menjadikan sokongan politik sebagai syarat penyelesaian masalah mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penduduk Bukit Malut yang memiliki MyKad mempunyai hak untuk menentukan pilihan politik mereka tanpa perlu dikaitkan dengan soal pemberian geran atau penyelesaian isu penempatan.

Beliau berkata, pendekatan menjadikan isu berkenaan sebagai pertukaran sokongan politik hanya menyebabkan masalah penduduk berlarutan dari satu generasi ke generasi berikutnya.

“Masalah orang Bukit Malut adalah orang politik tak mahu selesai kecuali dapat undi mereka, tak betul cara itu. Kita kena selesaikan sekali gus, bina rumah, mereka bebas. Mereka boleh buat kerja, hidup di sana. Siapa mereka nak undi, itu urusan mereka.

“Begitu cara selesai masalah, ini tangguh geran tak mahu bagi, rumah tak mahu bagi kena pangkah dulu. Sudah berapa generasi isu itu tak selesai pasal orang pentingkan politik,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Beliau mengulas tentang laporan terkini berkaitan penempatan Bukit Malut yang mana 92.2 peratus daripada 5,500 penduduk di situ memiliki MyKad dan diberikan status khas sebagai Melayu Islam Kedah (MIK).

Sementara itu, Muhammad Sanusi mengulangi kesediaan kerajaan negeri untuk membina kira-kira 1,400 buah rumah yang lebih terancang dengan syarat Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyelesaikan isu pengambilan tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Katanya, penduduk Bukit Malut juga menyatakan kesediaan untuk membeli rumah yang dibangunkan, namun harga perlu berada pada tahap mampu milik, terutama dalam lingkungan RM200,000 dan ke bawah.

“Depa sedia untuk beli, depa ada duit, depa kata kami sedia beli kalau ada rumah yang sesuai. Kalau harga RM1 juta, memang tak mampu. Jadi, MKN boleh buat pengambilan dan anak syarikat kerajaan negeri boleh bangunkan rumah untuk dijual, maka boleh selesailah masalah penempatan Bukit Malut,” katanya. – UTUSAN

The post Jangan tunggu undi baru selesaikan masalah Bukit Malut – Sanusi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved