
PENGACARA terkenal, Datuk Aznil Nawawi secara rasmi menyerahkan infak orang ramai mencecah RM200,000 untuk menampung kos perubatan anak pelakon Amyza Aznan, Adrian Adam.
Biarpun kutipan yang bermula 20 Mei lalu telah ditutup, pengacara Talk To My Manager tersebut memaklumkan masih terdapat sumbangan yang diterimanya.
Kongsi beliau, baki infak berjumlah lebih RM4,000 yang diterima selepas itu telah dipindahkan sepenuhnya ke akaun Amyza pada hari Sabtu.

“Salam semua, selepas Pak Nil beritahu tabung bantuan Adrian Adam, anak Amyza ditutup, Pak Nil masih menerima baki-baki infak terkumpul sebanyak RM4,260.48.
“Pak Nil sudah transfer ke akaun Amyza keseluruhannya hari ini,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Beliau dalam masa yang sama turut menghulurkan bantuan untuk menggenapkan jumlah keseluruhan RM200,000.
"Tiada lagi bantuan yang diterima dan jumlah keseluruhan infak adalah sebanyak RM196,208.21.

"Pak Nil genapkan dengan infak Pak Nil sendiri sebanyak RM3,791.79 untuk menjadikannya RM200,000.00.
"Terima kasih semua. Semoga ALLAH membalas kebaikan anda semua dengan rezeki dan kesihatan yang melimpah ruah. Amin," titipnya.
Warganet terharu dengan inisiatif Pak Nil membuka jalan rakyat Malaysia membantu keluarga Amyza.
Rata-rata mendoakan selebriti berusia 63 tahun itu dikurniakan kesihatan baik, rezeki yang melimpah ruah dan dipermudahkan segala urusan.
"Hati yang ikhlas dan niat yang baik untuk memulakan tindakan membantu. Yang menderma pun sama. Saya doakan Pak Nil dan semua yang menyumbang sentiasa dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat," tulis seorang pengguna.
"Terima kasih kerana menjadi asbab ramai dapat membantu Amyza dan anaknya," komen seorang lagi.
Adrian Adam terdahulu disahkan menghidap osteosarkoma atau kanser tulang pada 19 Februari.
Sekadar info, ini bukan kali pertama Pak Nil membuat kutipan dana membantu penggiat seni. Beliau terdahulu bertindak menggerakkan usaha pengumpulan dana bagi membantu penyanyi Zamani dan Allahyarham Ibnor Riza.
Sumber: Instagram






