Azry Akmar pangku tugas Ketua Polis Pahang

LocalPolitics
25 Jun 2026 • 5:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Azry Akmar pangku tugas Ketua Polis Pahang
Serah Terima Tugas Ketua Polis Pahang antara Yahaya (kanan) dan pemangku, Azry Akmar di saksikan Redzuan sempena Perhimpunan Bulanan Khas di sini pada Khamis

KUANTAN - Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob kini memangku tugas Ketua Polis Pahang berkuat kuasa pada Khamis.

Beliau memangku tugas Datuk Seri Yahaya Othman yang bersara wajib.

Majlis serah terima tugas diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang disaksikan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Komisioner Redzuan Abd Hamid pada Khamis.

Yahaya yang memikul tugas Ketua Polis Pahang sejak Mei 2023 bersara wajib mulai Jumaat sekali gus mengakhiri perkhidmatannya selama lebih 40 tahun dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketika ditemui, Yahaya menzahirkan ucapan terima kasih kepada pucuk pimpinan atas kepercayaan untuk beliau menerajui Polis Pahang selama dua tahun enam bulan bermula 10 Mei 2023 lalu.

"Saya juga merafak sembah kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah atas tunjuk ajar, teguran dan nasihat diberikan sepanjang saya berkhidmat memastikan keadaan di negeri Pahang sentiasa berada dalam keadaan aman sejahtera dan terkawal.

"Terima kasih kepada lebih 6,000 warga Polis Kontinjen Pahang yang banyak membantu dan memberi kerjasama sepenuhnya selama ini," katanya.

Yahaya berkata, sepanjang hampir 19 tahun berkhidmat di negeri Pahang beliau bangga apabila berpeluang bertugas sebagai juru iring kepada dua Sultan Pahang sebelum ini.

"Selain sebagai juru iring Sultan Pahang kelima, Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Shah, saya juga pernah berkhidmat bersama Al-Sultan Abdullah ketika Baginda menaiki takhta kerajaan Malaysia sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16," ujarnya.

Beliau turut berharap semua barisan kepimpinan Polis Pahang dan daerah memberikan kerjasama penuh kepada pengantinya.

Sementara itu, Azry Akmar berterima kasih dan menzahirkan penghargaaan kepada Yahaya atas tugas cemerlang beliau sebagai ketua Polis Pahang.

"Insya-ALLAH saya akan meneruskan tugas Datuk Seri dalam memimpin kontinjen Pahang menjadi sama ada setara ataupun lebih baik pada masa hadapan.

"Terima kasih kepada pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengizinkan saya untuk memangku jawatan ketua Polis Pahang," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved