Keluar Rumah Hadiri Temu Duga, Wanita Hilang Sejak 16 Jun.. Hanya Kereta Ditemui!

25 Jun 2026 • 10:00 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Polis sedang giat mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 16 Jun lalu dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

Menurut laporan Kosmo! Online, Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Mohd. Ariffridzuan Ezahar berkata, laporan kehilangan membabitkan Nor Afiza Zainuddin, 41, diterima pihaknya pada 18 Jun lalu sekitar pukul 11.22 pagi.

Menurut beliau, wanita berkenaan yang berasal dari Kamunting dipercayai kali terakhir meninggalkan kediamannya di No. 19, Lorong Mewah 16, Taman Mewah, Kamunting dengan memandu sebuah Perodua Axia berwarna putih.

“Hasil siasatan awal mendapati pada 16 Jun 2026, orang hilang (OH) telah keluar rumah dengan alasan menghadiri sesi temu duga di Hotel Casuarina Kuala Kangsar.
“Pada 21 Jun 2026, pihak polis telah menjumpai kenderaan milik OH di Kampung Paya Lintang, Batu Hampar, Padang Rengas iaitu tempat rekreasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Image from: Keluar Rumah Hadiri Temu Duga, Wanita Hilang Sejak 16 Jun.. Hanya Kereta Ditemui!

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan itu mendapati ia berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kerosakan.

Katanya, kunci kereta serta beberapa barangan peribadi milik wanita terbabit termasuk fail sijil, beg telekung dan kasut turut ditemui di dalam kenderaan tersebut.

Mohd. Ariffridzuan memaklumkan Nor Afiza merupakan ibu kepada dua anak dan kini anak-anaknya tinggal bersama bekas suami.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan OH dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Sanjay Shanmugam di talian 012-503 9820 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di talian 05-829 1222,” ujarnya.

Dari segi fizikal, wanita itu berketinggian 155 sentimeter dengan berat badan 57 kilogram. Dia berkulit sawo matang, berhidung pesek, beriris mata hitam dan memakai cermin mata.

Sebelum ini, media melaporkan Nor Afiza gagal dikesan sejak 16 Jun lalu walaupun pelbagai usaha pencarian telah dijalankan oleh ahli keluarganya.

Namun, usaha tersebut masih belum membuahkan hasil dan dua laporan polis berhubung kehilangannya telah dibuat oleh keluarga bagi membantu proses pencarian.

Sumber: Kosmo! Online (Luqman Ridhwan Mohamed Nor)

The post Keluar Rumah Hadiri Temu Duga, Wanita Hilang Sejak 16 Jun.. Hanya Kereta Ditemui! appeared first on Borak Daily.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved