B100: Ketika dunia berteka-teki, FELDA membina jawapan

LocalEnvironment
8 Apr 2026 • 2:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan bahawa B100 biodiesel berpotensi muncul sebagai sumber tenaga alternatif yang lebih kompetitif dan berdaya tahan.

DUNIA sedang bergetar oleh ketidaktentuan dan dalam getar itu, kita sering mencari jawapan di tempat yang jauh. Di dewan persidangan antarabangsa, pada angka di pasaran global, atau di peta geopolitik yang sarat konflik.

Namun, kadang-kadang jawapan itu sebenarnya tidak pernah pergi ke mana-mana. Ia ada di tanah yang kita pijak di ladang, pada peluh peneroka, dan pada sistem yang telah lama kita bina tanpa benar-benar kita fahami nilainya.

Ketika perang meletus dan Selat Hormuz menjadi simbol rapuhnya rantaian bekalan tenaga dunia, Malaysia turut merasai tempiasnya. Harga diesel melonjak tinggi, subsidi semakin keras menekan dan kos hidup menghimpit keras.

Dalam keadaan ini, soalan asas dan fundamental bukan lagi bersifat teknikal tetapi mendasar jauh ke belakang, sejauh mana kita benar-benar berdaulat dalam soal tenaga?

Di sinilah cerita dan naratif lama menemukan nafas baharunya.

FELDA tidak pernah sekadar menjadi institusi pembangunan tanah. Ia adalah sebuah eksperimen besar tentang manusia, tentang harapan, tentang bagaimana tanah boleh mengubah nasib.

Selama 70 tahun, FELDA membina asas negara dan komuniti. Hari ini dalam dunia yang semakin tidak pasti dan penuh teka-teki, asas itu mula berbicara dalam bahasa yang berbeza iaitu bahasa tenaga.

Apa yang berlaku kini bukan lagi sekadar perbincangan teknikal. Ia telah menjadi naratif nasional. Liputan media sejak 7 April 2026 memperlihatkan satu kesepakatan yang jarang berlaku bahawa B100 bukan lagi idea pinggiran dan sampingan tetapi satu pergerakan strategik.

Dari laporan semua platform media, mesej dan naratifnya jelas dan sama iaitu biodiesel berasaskan sawit ini semakin dilihat sebagai sumber tenaga yang kompetitif, mampan dan berdaya tahan.

Namun, di sebalik semua tajuk berita itu, ada realiti yang lebih dekat dengan kehidupan. Harga diesel sekitar RM6.02 seliter bukan sekadar angka. Ia adalah kos yang ditanggung oleh peniaga kecil. Dalam masa yang sama, potensi B100 sekitar RM4.50 seliter membuka ruang yang besar.

Jurang ini bukan sekadar penjimatan. Ia adalah ruang bernafas untuk ekonomi, untuk rakyat, untuk negara.

Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sendiri menegaskan bahawa B100 biodiesel berpotensi muncul sebagai sumber tenaga alternatif yang lebih kompetitif dan berdaya tahan dalam mendepani ketidaktentuan global sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap diesel konvensional.

Tetapi dalam krisis seperti ini, harga hanyalah permukaan dan terlalu asas. Isu sebenar adalah keterjaminan. Selagi kita bergantung kepada import, selagi itu kita terdedah kepada konflik, kepada sekatan, kepada keputusan yang dibuat jauh dari kita.

Dalam konteks ini, B100 membawa makna yang lebih dalam. Ia memberi kita sedikit kawalan terhadap nasib sendiri.

Peranan FGV Holdings Berhad dalam perjalanan ini menjadi semakin penting. Ia bukan sekadar syarikat, tetapi penghubung antara ladang dan tenaga, antara hasil tuaian dan masa depan. Apa yang lahir dari pokok sawit kini tidak lagi berhenti sebagai komoditi, tetapi bergerak menjadi sebahagian daripada sistem yang melindungi negara.

Jika dilihat lebih luas, B100 sedang membentuk satu ekosistem tenaga domestik yang lengkap. Dari peneroka FELDA yang mengusahakan tanah, ke kilang pemprosesan, ke loji biodiesel, hingga ke pengguna akhir. Semuanya terhubung antara satu sama lain. Nilai tidak lagi mengalir keluar, tetapi berpusing dalam negara, menguatkan akar ekonomi dari bawah.

Di sebuah tanah rancangan di Wilayah Jengka, seorang peneroka mungkin tidak berbicara tentang geopolitik atau memahami kompleksiti Selat Hormuz. Tetapi dia tahu jika harga sawit stabil, dapurnya berasap dan anaknya boleh ke sekolah.

Hidupnya sedikit lebih tenang dan terancang. Apabila biodiesel menjadi permintaan baharu, dia akan mula sedar ladang yang diwariasi dari generasi pertama kini bukan sekadar menghasilkan buah, tetapi masa depan.

Projek rintis B100 oleh FELDA dan FGV sejak 2025 daripada kenderaan penumpang hingga ujian lori tangki membuktikan bahawa ini bukan lagi sekadar idea di atas kertas. 15 bulan kenderaaan ini diuji, diperbaiki dan disiapkan untuk skala yang lebih besar. Dalam dunia yang bergerak ke arah krisis tenaga yang semakin kompleks, kelebihan ini memberi Malaysia satu langkah besar ke hadapan.

Namun jalan ini tidak mudah. Isu keserasian enjin, pelaburan infrastruktur dan penerimaan industri perlu diurus dengan teliti. Pada masa yang sama, persepsi global terhadap minyak sawit terus menjadi cabaran yang memerlukan strategi komunikasi yang lebih bijaksana. Tidak perlu risau perihal itu kerana sejarah FELDA sendiri adalah bukti bahawa dari cabaran lahir ketahanan yang luar biasa.

Dalam dimensi yang lebih luas, B100 juga selari dengan komitmen Malaysia di bawah Paris Agreement. Ia bukan sahaja tentang ekonomi, tetapi tentang masa depan yang lebih lestari. Setiap liter biodiesel membawa makna bahawa pembangunan tidak semestinya mengorbankan alam. Ia boleh berjalan seiring.

Akhirnya, apabila dunia terus berteka-teki tentang harga, tentang bekalan, tentang arah masa depan, FELDA menawarkan sesuatu yang berbeza. Bukan jawapan segera, tetapi jawapan yang dibina perlahan-lahan, dari tanah, dari manusia, dari pengalaman panjang sebuah negara.

Mungkin dalam diam di sebuah ladang sunyi di tanah rancangan FELDA Lui Timur, Wilayah Raja Alias, ada seorang peneroka yang tidak lagi tergesa pulang.

Dia duduk bersandar, berehat melepas lelah, memandang terik matahari yang jatuh keras ke bumi, namun wajahnya redup dibayangi pelepah sawit.

Di situ, dalam tenang yang sederhana, dia tersenyum. Selepas hampir tujuh dekad FELDA membina kehidupan dari tanah yang dahulu liar, kini dia melihat sesuatu yang lebih besar sedang berlaku bahawa tanah yang sama dan pohon sawit yang sama bukan lagi sekadar membina keluarga tetapi sedang menggerakkan tenaga sebuah negara.

*Syirfan Indra Mitra Surya Hussin ialah penyelidik dalam bidang media dan komunikasi, dengan kepakaran yang memfokuskan kepada kewartawanan baharu, komunikasi strategik dan industri kreatif