B40 mula rancang persaraan, M40 perlu sokongan tambahan – laporan RinggitPlus

01/10/2025 - 17:12
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 1 Okt – Rakyat Malaysia berpendapatan rendah kini menunjukkan peningkatan positif dalam perancangan kewangan namun golongan berpendapatan sederhana semakin berdepan tekanan dengan kadar simpanan yang agak merosot.
Tinjauan Celik Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2025 mendapati 55% daripada mereka yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan sudah mula merancang persaraan, meningkat berbanding 48% pada 2024.
Perkembangan ini dikaitkan dengan inisiatif pendidikan kewangan, program sokongan kerajaan serta kenaikan gaji minimum yang membantu golongan paling terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Tinjauan RMFLS 2025 melibatkan lebih 3,000 responden di seluruh negara dengan sokongan Financial Education Network (FEN) serta rakan kerjasama termasuk KAF Digital Bank, CIMB Foundation dan Experian.
Laporan itu mendapati tahap kesedaran kewangan juga bertambah baik apabila hanya 40% responden berpendapatan rendah tidak mengenali skor kredit, berbanding 45% pada tahun sebelumnya.
Ini membuktikan terdapat peningkatan kesedaran mengenai pengaruh skor kredit yang memberi kesan kepada kesejahteraan kewangan.
Bagaimanapun, bagi golongan berpendapatan sederhana (RM5,000 – RM10,000 sebulan), hanya 23% berjaya menyimpan antara RM1,001 hingga RM1,500 sebulan berbanding 29% pada 2024 manakala jumlah yang menyimpan kurang RM500 meningkat kepada 39% daripada 31%.
Daya tahan kewangan mereka juga semakin merosot dengan hanya 27% menyatakan mereka mampu bertahan lebih enam bulan tanpa pendapatan, berbanding 32% pada tahun lalu.
Golongan ini juga merupakan satu-satunya kumpulan pendapatan yang mengurangkan perbelanjaan hiburan, makan di luar dan langganan untuk menguruskan bajet peribadi mereka.

Laporan itu turut menonjolkan Gen Z sebagai kumpulan paling optimis, dengan 40% berjaya menyimpan lebih RM500 sebulan manakala yang tidak menyimpan langsung telah menurun kepada hanya 11%, yang terendah antara semua kumpulan pendapatan.
Minat mereka dalam perancangan kewangan turut terserlah dengan 57% menyatakan telah mula merancang untuk persaraan, berbanding 53% pada 2024.
Generasi ini juga aktif menggunakan teknologi dengan 62% melaporkan mereka menggunakan aplikasi bajet yang dikuasakan oleh AI, penasihat robot atau chatbot kewangan untuk membantu menguruskan kewangan mereka.
Mengikut laporan itu, media sosial kekal sebagai sumber utama maklumat kewangan.
Sebanyak 68% responden kini menggunakan platform seperti Instagram, TikTok dan Facebook untuk belajar tentang kewangan.
Pilihan golongan berusia kekal popular dengan pelaburan seperti dana ASNB (64%), unit amanah (42%) dan emas (38%) menjadi pilihan utama.
Dalam pada itu, peningkatan kos insurans telah memaksa kira-kira 22% pemegang polisi menukar kepada pelan lebih murah atau membatalkan perlindungan.
Hampir separuh rakyat Malaysia (43%) masih tiada insurans perubatan manakala 15% hanya bergantung pada kad perubatan syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Yuen Tuck Siew berkata, RMFLS 2025 mencerminkan daya tahan dan literasi kewangan rakyat Malaysia.
“Ramai rakyat berpendapatan rendah dan Gen Z mengambil langkah yang betul, menyimpan secara konsisten, merancang untuk persaraan dan membina tabiat kewangan yang baik walaupun berdepan cabaran.
“Namun dapatan kami juga menunjukkan golongan berpendapatan sederhana perlu diberikan perhatian dan sokongan semula.
“Golongan ini terus bekerja keras walaupun bajet isi rumah semakin ketat dan kuasa simpanan berkurang.
“Ketika Malaysia bergerak ke arah status negara maju, adalah penting untuk memastikan golongan berpendapatan sederhana mempunyai alat dan peluang yang tepat untuk membina semula kekuatan kewangan mereka yang menjadi kunci kepada pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya. - DagangNews.com
standard


