BAC 2023: Yew Sin-Ee Yi, Soon Huat-Shevon tempah tiket separuh akhir

28 Apr 2023 • 11:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Yew Sin-Ee Yi. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 selepas menyingkirkan gandingan nombor satu dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), malam ini.

Gandingan kelapan dunia itu hanya mengambil masa 37 minit untuk mengalahkan beregu Indonesia itu dengan keputusan 22-20 dan 21-15 pada aksi suku akhir di Dewan Tertutup Sheikh Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr.

Keputusan yang dilakar Yew Sin-Ee Yi sekali gus melebarkan rekod empat kemenangan ke atas gandingan Indonesia itu, yang mencatatkan tujuh kemenangan daripada 11 pertemuan.

Menanti Yew Sin-Ee Yi di separuh akhir adalah pemenang antara beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dan beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana yang turut beraksi malam ini.

Beregu campuran profesional, negara yang juga berada di ranking kelapan dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai juga mengiringi kemaraan wakil negara itu selepas turut menjinakkan gandingan ke-14 dunia dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari menerusi pertembungan tiga set.

Soon Huat-Shevon, yang merupakan pilihan kelapan kejohanan, dapat mengawal perlawanan dengan baik dan mencatat kemenangan set pertama dengan keputusan 21-17 sebelum kebangkitan pihak lawan di set kedua 15-21.

Rekod pertemuan sebanyak empat kali dengan tiga kemenangan memihak kepada wakil negara itu kemudian dilebarkan lagi apabila mereka berjaya menoktahkan kemenangan di set penentuan 21-19 dalam pertarungan selama 55 minit.

Soon Huat-Shevon akan berdepan beregu nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, yang tidak pernah dikalahkan mereka sepanjang 10 pertemuan sebelum ini.

Si Wei-Ya Qiong mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan gandingan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavinati, 21-11, 21-17. - Bernama.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved