Baca dan hayati semula Rukun Negara, kembali bermuhasabah - Ronnie Liu

LocalPolitics
20 May 2026 • 5:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Baca dan hayati semula Rukun Negara, kembali bermuhasabah - Ronnie Liu
Ronnie Liu

SHAH ALAM - Semua ahli politik tanpa mengira pihak kerajaan mahupun pembangkang disaran kembali membaca dan menghayati Rukun Negara agar dapat bermuhasabah.

Bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew berkata, mereka juga perlu menilai semula sama ada strategi, ucapan dan tindakan politik yang pernah dibawa benar-benar menepati semangat Perlembagaan, menghormati kedaulatan undang-undang serta membantu memperkukuhkan perpaduan negara.

Menurutnya, ini kerana perkara yang mampu menstabilkan sesebuah negara ialah ketamadunan, institusi, kedaulatan undang-undang, saling menghormati dan perpaduan masyarakat.

"Hari ini atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah saya telah hadir sendiri ke Dataran Selangor untuk membaca semula dan menghayati dengan lebih mendalam Rukun Negara.

"Ketika membaca semula Rukun Negara, saya benar-benar tersentuh, berasa amat mendalam di dalam hati dan kembali bermuhasabah. Barulah saya menyedari bahawa apa yang ditinggalkan oleh para pengasas negara bukan sekadar beberapa rangkap kata, tetapi suatu kebijaksanaan lahir daripada pengalaman pahit serta luka besar pernah dilalui.

"Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengasas negara yang membentuk Rukun Negara. Ia satu panduan penting agar negara terus stabil dan maju ke hadapan," ujarnya menerusi laman Facebook pada Rabu.

Tambah Ronnie Liu, kelahiran Rukun Negara sendiri tercetus selepas insiden 13 Mei apabila negara berusaha mengelakkan konflik kaum, perpecahan masyarakat dan politik ekstrem daripada berulang kembali dengan membentuk satu semangat kebangsaan bersama.

Jelasnya, nilai sebenar Rukun Negara bukan sekadar terletak pada lima prinsipnya, tetapi pada semangat yang dibawa agar rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar budaya dapat terus hidup bersama secara aman, saling menghormati, serta bersama-sama membina masa depan negara.

“Kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan.

"Lima prinsip yang ringkas ini sebenarnya merangkumi hampir seluruh nilai asas yang diperlukan untuk menjamin kestabilan jangka panjang sebuah negara majmuk.

"Lebih-lebih lagi pada hari ini, ketika politik semakin dipenuhi emosi dan masyarakat mudah terjebak dalam polarisasi ekstrem, kita dapat melihat nilai, kebijaksanaan dan kepentingan sebenar Rukun Negara," ulasnya.