
SHAH ALAM - Seruan Sultan Selangor supaya para pemimpin bermuhasabah mengenai perpaduan nasional mencetuskan reaksi daripada bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew yang hari ini meneliti semula prinsip Rukun Negara di Dataran Selangor.
Bercakap kepada The Vibes selepas lawatannya, Liu berkata pengalaman membaca semula prinsip-prinsip kebangsaan itu dalam konteks sejarah memberikan makna yang lebih mendalam dan mendesak, khususnya dalam suasana politik semasa yang semakin berpolarasi.
Menurut beliau, walaupun ramai rakyat Malaysia menghafal Rukun Negara sejak di bangku sekolah, penghayatan sebenar terhadap prinsip tersebut hanya dapat difahami apabila dilihat dalam konteks Peristiwa 13 Mei 1969.
“Apabila berdiri di sini hari ini dan benar-benar memahami sejarah serta semangat di sebalik pembentukan Rukun Negara, saya sedar bahawa apa yang ditinggalkan oleh para pengasas negara bukan sekadar slogan, tetapi satu bentuk kebijaksanaan nasional yang lahir daripada detik paling gelap dalam sejarah negara,” katanya.
Video lawatan Ronnie ke Dataran Selangor boleh dilayari di pautan https://www.facebook.com/reel/1910892312948127/?s=single_unit.
Veteran DAP itu menegaskan, pembentukan Rukun Negara merupakan usaha yang disengajakan bagi mengelakkan berulangnya konflik perkauman, perpecahan sosial dan politik ekstremis, selain kekal relevan dalam memelihara keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
Katanya, teras utama falsafah tersebut ialah komitmen bersama untuk hidup dalam suasana saling menghormati tanpa mengira kaum, agama dan budaya, demi masa depan negara yang lebih stabil dan bersatu.
“Prinsip-prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan merangkumi nilai teras yang diperlukan bagi menjamin kestabilan jangka panjang sebuah negara berbilang kaum,” katanya lagi.
Kenyataan Liu hadir ketika kebimbangan terhadap peningkatan permusuhan politik dan retorik yang bersifat memecahbelahkan semakin memuncak, yang menurutnya berpotensi menghakis integriti institusi dan perpaduan sosial sekiranya tidak dibendung.
Selaras dengan titah Sultan Selangor, beliau turut menyeru semua pemimpin politik, sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, supaya menilai semula pendekatan dan tindakan masing-masing.
“Saya menyeru semua pemimpin politik agar kembali menghayati Rukun Negara dan bermuhasabah sama ada strategi, retorik serta tindakan mereka benar-benar menjunjung Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan perpaduan nasional,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negara tidak bergantung kepada dominasi politik semata-mata, sebaliknya terletak pada ketahanan institusi, kematangan masyarakat dan semangat saling menghormati.
“Apa yang benar-benar menstabilkan sesebuah negara ialah ketamadunan, institusi yang kukuh, kedaulatan undang-undang serta perpaduan sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Liu turut menzahirkan penghargaan kepada generasi pengasas negara yang menurutnya telah meninggalkan Rukun Negara sebagai panduan penting untuk kestabilan dan kemajuan Malaysia.
“Hanya kini kita mula menyedari bahawa apa yang mereka tinggalkan bukan sekadar kata-kata, tetapi panduan yang kekal relevan demi kestabilan dan kemajuan negara,” katanya.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Ronnie Liu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki supaya membaca Rukun Negara setiap minggu bagi memahami kandungannya serta menjadi rakyat yang beradab dan menghormati institusi diraja.
Baginda turut menitahkan semua ADUN Selangor hadir ke Dataran Selangor sebanyak dua kali sebulan bagi melafazkan Rukun Negara yang dipamerkan pada plak di dataran berkenaan.
Titah itu susulan kontroversi membabitkan cadangan Siew Ki untuk membenarkan penternakan babi moden secara sistem tertutup di Selangor, sebagai respons terhadap titah Sultan sebelum ini yang menolak aktiviti berkenaan di mana-mana daerah di negeri tersebut.
Ronnie sebelum ini mempertahankan cadangan Wong dengan menyifatkannya sebagai penyelesaian teknikal yang dikemukakan dalam kerangka institusi perundangan yang sah. – Getaran, 20 Mei 2026






