
SHAH ALAM, 24 OGOS: Kem badminton Selangor menutup saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan dua pingat emas, sekali gus mencapai sasaran awal yang ditetapkan sebelum temasya bermula.
Dua emas tersebut disumbangkan menerusi acara perseorangan lelaki oleh Muhammad Haziq Najib dan skuad berpasukan wanita pada saingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), di sini.
Jurulatih badminton Selangor, P. Preman berkata, pihaknya berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya yang berjaya merealisasikan sasaran beraksi di laman sendiri.
“Dari permulaan kami memang menyasarkan dua pingat emas dan mungkin satu pingat tambahan dari acara berpasukan lelaki tetapi dua ini sudah dianggap baik memandangkan pemain-pemain kita kebanyakannya adalah pemain muda dan menjadi prospek untuk masa hadapan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Badminton Selangor, Datuk V. Subramaniam serta Majlis Sukan Negeri Selangor yang banyak membantu pembangunan atlet badminton kami,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Preman, kejayaan tersebut membuktikan barisan pemain muda Selangor mampu bersaing di pentas tertinggi selain menjadi asas penting untuk pembentukan skuad yang lebih kompetitif pada masa akan datang.
Selangor menamatkan kempen badminton SUKMA 2026 dengan dua pingat emas dan kini memasang tekad untuk memperbaiki pencapaian pada temasya akan datang yang dijadualkan berlangsung pada 2028.




