Seorang kerabat Diraja Terengganu mengambil tindakan undang-undang terhadap dua institusi perbankan selepas mendakwa simpanan peribadinya berjumlah RM1,985,065 hilang, sehingga dua akaun berkenaan masing-masing hanya berbaki sekitar RM73 dan RM99.

Foto: Utusan Malaysia
Tengku Ismail Tengku Ibrahim, 65, berkata, beliau menyedari kehilangan itu ketika menyemak akaunnya di kaunter bank pada awal Januari lalu.
Menurutnya, wang tersebut dipercayai dipindahkan keluar melalui transaksi berulang secara beransur-ansur sehingga hampir keseluruhan simpanannya habis.
Beliau kemudian meminta penjelasan daripada kakitangan bank, namun mendakwa jawapan yang diterima tidak menjelaskan bagaimana transaksi berkenaan boleh berlaku.
“Saya kemudian melantik peguam untuk menghantar surat rasmi kepada kedua-dua bank bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai transaksi terbabit.
“Bagaimanapun, sehingga kini saya masih belum menerima penjelasan yang dapat menjawab persoalan bagaimana wang itu boleh dikeluarkan daripada akaun saya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu.
Tengku Ismail turut berkata, beliau dimaklumkan bahawa polis telah menahan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan akaun penerima transaksi tersebut.
Bagaimanapun, beliau masih menunggu maklumat lanjut mengenai siasatan berkenaan bagi membantu tindakan sivil terhadap kedua-dua bank.
Sementara itu, peguamnya, Alif Danial Ahmad Shahrulnizam, berkata, transaksi yang dipertikaikan dipercayai berlaku antara September hingga Disember tahun lalu, membabitkan jumlah keseluruhan RM1,985,065.
Menurutnya, tindakan undang-undang diteruskan selepas pihaknya mendakwa belum memperoleh maklum balas yang memuaskan meskipun sudah menghubungi kedua-dua institusi tersebut.
“Writ saman terhadap kedua-dua bank berjaya diserahkan pada 8 Oktober lalu.
“Pengurusan kes pertama bagi saman terhadap bank pertama ditetapkan pada 14 Oktober ini, manakala bagi bank kedua pada 19 Oktober,” jelasnya.
Alif Danial menjelaskan, saman itu antara lain menuntut pemulangan wang yang didakwa hilang serta ganti rugi lain berkaitan, susulan dakwaan kecuaian dalam pengendalian transaksi tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa kehilangan simpanan dalam jumlah besar itu menjejaskan keadaan anak guamnya, termasuk menyebabkan keresahan dan trauma.
Sumber: Berita Harian (Zaid Salim)






