
KUALA TERENGGANU – Seorang kerabat diraja Terengganu memfailkan saman sivil terhadap dua institusi kewangan tempatan bagi menuntut semula simpanannya berjumlah keseluruhan kira-kira RM1.99 juta yang didakwa telah lesap daripada akaun simpanan peribadinya pada tahun lalu.
Writ saman tersebut difailkan menerusi dua peguamnya, Alif Danial Ahmad Shahrulnizam dan Mohd. Hazwan Hamidun dari firma guaman, Rafie & Co di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Plaintif, Tengku Ismail Tengku Ibrahim, 65, menuntut semua wang simpanannya berjumlah keseluruhan RM1,985,065 yang hilang dipulangkan semula oleh dua institusi kewangan terbabit yang dinamakan sebagai defendan.
Ahli perniagaan tersebut juga menuntut ganti rugi am, kos guaman dan faedah daripada kedua-dua defendan berkenaan.
Berdasarkan penyataan writ saman, plaintif yang mendakwa tidak pernah menggunakan mana-mana aplikasi pembankan dalam talian itu hanya menyedari wang simpanan di dalam dua akaun bank terbabit telah hilang pada bulan Januari lalu.
Kunjungannya di dua cawangan bank berkenaan itu mendapati baki simpanannya masing-masing hanya tinggal RM73 dan RM99.
Semakan kemudiannya mendapati kesemua transaksi pengeluaran wang simpanan mencurigakan tersebut didakwa berlaku antara September hingga Disember tahun lalu.
Laporan polis berhubung kehilangan wang simpanan tersebut telah dibuat Tengku Ismail di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini, pada 15 Januari lalu.
Plaintif mendakwa tidak pernah memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak ketiga untuk mengaktifkan kemudahan perbankan dalam talian, memindahkan wang keluar mahupun mengesahkan sebarang transaksi dipertikai berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Simpanan RM1.99 juta lesap, kerabat diraja Terengganu saman dua bank appeared first on Kosmo Online.






