PUCHONG - Tidak tahu dan hanya mahu mandi menjadi antara alasan yang diberikan individu selepas ditahan kerana menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Ayer Hitam di sini.
Op Jejak bermula Sabtu itu dijalankan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dengan kerjasama Balai Polis Puchong Jaya dan Universiti Putra Malaysia.
Seorang remaja berusia 19 tahun yang ditahan berkata, dia datang ke hutan simpan itu bersama beberapa rakan selepas mengetahui daripada media sosial.
"Kami tak tahu salah masuk sini. Memang tak perasan ada signboard (papan tanda) larangan.
"Maaf bang...kami memang tak tahu," katanya selepas ditahan ketika sedang berseronok mandi di kawasan berkenaan pada Ahad.
**media[3551046]**
Sinar Harian yang berpeluang mengikuti operasi mendapati kawasan air terjun dan sungai menjadi tarikan utama mereka yang memasuki HSK Ayer Hitam.
Ada beberapa kumpulan yang ditahan di kawasan sungai dan air terjun selain mereka yang sedang melakukan pendakian.
Semasa penahanan dan proses dokumentasi hendak dilakukan, terdapat segelintir disyaki warga asing yang enggan memberikan kerjasama apabila mempertikaikan pemeriksaan serta prosedur dilakukan pegawai operasi.
Selain itu, kebanyakan mereka juga mendakwa baru pertama kali ditahan pihak berkuasa.
**media[3551045]**
Ketika tinjauan, kelihatan papan tanda yang telah dirosakkan akibat perbuatan vandalisme selain kepingan kertas-kertas disyaki ditaburkan di laluan pendakian oleh kumpulan pendaki yang melakukan aktiviti di waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Sementara itu, Pegawai Hutan Daerah Selangor Tengah, Mohd Hadre Mohamad berkata, operasi yang tamat pada jam 3 petang itu menahan 45 individu termasuk lima warga asing kerana disyaki menjalankan aktiviti rekreasi pendakian tanpa kebenaran atau Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal (Borang 6) yang dikeluarkan oleh JPNS.
**media[3551054]**
Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 38 lelaki dan tujuh wanita.
"Kesemua individu tersebut telah dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang bagi tujuan pelaporan untuk tindakan siasatan lanjut oleh JPNS.
"Kita menasihati penggemar aktiviti rekreasi agar peka tentang keperluan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal dan menjalankan aktiviti tersebut di lokasi pendakian yang dibenarkan sahaja," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, tindakan tegas boleh diambil kerana perbuatan tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 47 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.





