
Alasan terputus bekalan air, seorang lelaki berusia 35 tahun menumpang rumah seorang wanita sebelum dicekup berkhalwat di Taman Maju, Jasin, Melaka, kelmarin.
Lelaki yang merupakan seorang bapa kepada 2 anak itu menyatakan wanita yang merupakan ibu kepada 11 orang anak adalah kakak angkatnya, alasan itu juga diberikan bagi meraih simpati penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang melakukan serbuan.
Duda ditangkap khalwat bersama janda anak 11 yang bakal berkahwin

Menerusi laporan TV3, Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pemeriksaan lanjut mendapati wanita berusia 46 tahun itu adalah tunangan orang yang bakal berkahwin kali ketiga pada April depan.
Katanya, seramai 8 anggota Unit Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Jasin (PAIDJ) dan Ibu Pejabat JAIM terbabit operasi sekitar jam 3.20 pagi, Ahad lalu.
“Anggota penguatkuasa terpaksa menunggu 15 minit sebelum pintu dibuka oleh seorang wanita. Ketika itu didapati lampu di bilik hadapan rumah teres itu masih bernyala.
“Pemeriksaan lanjut menemui dua lelaki iaitu anak wanita itu berusia 16 tahun dan seorang duda di atas katil dalam bilik hadapan serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di bilik belakang.”
Siasatan awal mendapati bahawa lelaki terbabit berstatus duda dan bercerai pada Januari lalu serta berkawan dengan anak lelaki si ‘kakak angkat.’
Wanita yang mempunyai 11 anak iaitu 8 anak hasil perkahwinan pertama dan 3 anak lagi dengan suami kedua itu tidak bekerja, dia pernah ditangkap atas kesalahan berkhalwat dengan lelaki lain pada 2 tahun lalu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka bersekedudukan sejak setahun lalu dan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman.
“Sementara itu, anak wanita itu disiasat mengikut Seksyen 34 Enakmen sama kerana bersubahat,” katanya.
Kejayaan operasi itu hasil kerjasama orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) yang menyalurkan maklumat dan membantu pihak JAIM mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.
Baca : Lebih 300 Anggota Polis Ditukar Tempat Kerja, Punca Berkhalwat Dengan Pegawai Sudah Berkahwin
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


