
BATU PAHAT: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menasihatkan ahli keluarga kepada Allahyarham Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, agar bersabar dengan ujian menimpa mereka sekeluarga.
Bapa kepada arwah, Mohd. Khairool Faisal Khyar, 42, berkata, kata-kata semangat daripada Raja Permaisuri Agong sedikit sebanyak memberikan kekuatan kepada mereka sekeluarga.
“Baginda sangat prihatin dan kami menghargai titah baginda kepada keluarga kami. Baginda menasihati kami supaya bersabar dengan apa yang telah berlaku,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, di sini hari ini.
Terdahulu, Raja Zarith Sofiah berangkat meluangkan masa kira-kira satu jam bersama ahli keluarga berkenaan, selain turut diadakan sesi membaca surah Yasin dan tahlil ringkas.
Sementara itu, Mohd. Khairool Faisal yang merupakan seorang jurutera di Bangi turut memberitahu, polis telah memaklumkan laporan bedah siasat melibatkan kematian anak tunggalnya itu.
Bagaimanapun katanya, pihaknya telah dinasihatkan agar tidak mendedahkan butiran perkara itu kepada umum.
Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang aspek keselamatan murid dan pelajar dalam sekolah, Mohd. Khairool Faisal berkata, keselamatan dalam kawasan sekolah perlu diberikan perhatian serius semua pihak termasuk kerajaan.
“Keselamatan sekolah wajar diberi keutamaan lebih tinggi. Perkara ini perlu diperkukuh supaya ibu bapa rasa yakin dan selamat apabila menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
“Saya harap pada masa depan, kejadian seperti ini tidak berlaku kepada anak orang lain. Saya mahu perkara ini ditangani dan diselesaikan,” katanya sambil mengucapkan penghargaan kepada sokongan diberikan masyarakat Malaysia terhadap keluarganya.-UTUSAN
The post Baginda nasihatkan kami bersabar hadapi ujian – bapa Irene Sofiya appeared first on Utusan Malaysia.





