
SHAH ALAM, 26 NOV: Sebanyak 15 aset membabitkan 14 lori dan sebuah jentera pengorek serta bahan batuan bernilai keseluruhan kira-kira RM2 juta dirampas dalam operasi bersepadu di Sepang dan Hulu Langat.
Operasi membanteras kegiatan pengeluaran dan pengangkutan bahan batuan serta mineral tanpa kebenaran bermula Isnin lalu itu turut menyaksikan 430 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Timbalan Pengarah (Pengurusan) Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) Mohd Norshahnaz Md Zahir berkata risikan dan pemantauan dilakukan selama sebulan di seluruh Selangor sebelum operasi dilaksanakan.
“Kesemua aset berkenaan disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti pengeluaran dan pengangkutan bahan batuan atau mineral tanpa kebenaran sah.
“Jumlah rampasan aset serta batuan dianggarkan bernilai RM2 juta,” katanya pada sidang media di Stor Barang Rampasan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor di sini, hari ini.
Menurutnya, daripada 430 saman yang dikeluarkan, 97 daripadanya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala 333 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Operasi itu membabitkan tujuh agensi iaitu PTGS, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, PDRM, JPJ, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).
Mohd Norshahnaz berkata tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang termasuk Kanun Tanah Negara (Akta 828), Enakmen Mineral (Selangor) 2000 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Jumlah kompaun terhadap kesalahan terbabit pula akan ditentukan selepas siasatan selesai, selain tertakluk kepada semakan dan keputusan pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa,” katanya.
Tambahnya, kertas siasatan akan dibuka susulan operasi terbabit manakala Kerajaan Negeri menerusi PTGS akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan berkenaan.






