liza26/11/2026 - 17:51 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov – Bintai Kinden Corporation Berhad memperoleh kontrak bernilai RM25.12 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi melaksanakan kerja penggantian dan pemindahan aset elektrik di Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV Cenderoh, Perak.
Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn Bhd (KBK) yang menerima dan mengesahkan penerimaan Surat Anugerah daripada TNB pada 26 November 2026.
Projek berkenaan melibatkan penggantian dan pemindahan transformer serta peralatan gabungan utama dan sekunder di pencawang berkenaan.
Menurut makluman Bintai kepada Bursa Malaysia, kontrak itu perlu disiapkan dalam tempoh 730 hari atau kira-kira dua tahun dari tarikh permulaan kerja.
Bagaimanapun, tarikh mula pelaksanaan projek masih belum ditetapkan dan akan disahkan oleh TNB pada tarikh kemudian.
Sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan
Bintai berkata, kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Syarikat turut memaklumkan tiada risiko besar yang dijangka timbul daripada kontrak itu selain risiko perniagaan biasa yang berkaitan dengan pelaksanaan projek.
Selain itu, tiada seorang pun daripada pengarah dan pemegang saham utama Bintai atau individu yang mempunyai hubungan dengan mereka mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan. - DagangNews.com






