Bahang cuaca panas jejas produktiviti, kesihatan awam

LocalEnvironment
27 Mar 2026 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Cuaca panas yang melanda Malaysia ketika ini tidak lagi boleh dianggap sebagai fenomena bermusim semata-mata.

CUACA panas yang melanda Malaysia ketika ini tidak lagi boleh dianggap sebagai fenomena bermusim semata-mata.

Sebaliknya, ia merupakan isyarat jelas kepada perubahan iklim yang semakin ketara, sekali gus menuntut perhatian serius semua pihak.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, suhu harian dilaporkan mencecah melebihi 35 darjah Celsius di sekurang-kurangnya 17 kawasan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan harian, malah memberi kesan langsung kepada kesihatan awam, produktiviti serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Fenomena ini turut dipengaruhi oleh kedudukan matahari ketika ekuinoks yang berlaku dua kali setahun, selain kesan pemanasan global dan fenomena El Nino.

Pakar klimatologi menjangkakan tahun ini berpotensi menjadi antara yang paling panas pernah direkodkan di peringkat global.

El Nino merujuk kepada peningkatan suhu permukaan laut di luar kebiasaan, mempercepatkan lagi pemanasan atmosfera.

Dalam keadaan tertentu, suhu persekitaran boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius, khususnya apabila kelembapan udara rendah dan keadaan menjadi lebih kering.

Cuaca kering berpanjangan meningkatkan risiko kemarau, kebakaran hutan serta jerebu.

Data Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan sebanyak 6,575 kes kebakaran hutan, ladang dan belukar direkodkan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini sahaja.

Langkah awal telah diambil dengan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi seperti tanah gambut dan hutan simpan di Selangor, Perak dan Johor.

Namun, cabaran sebenar terletak pada tahap kesiapsiagaan masyarakat dan pematuhan terhadap langkah pencegahan.

Risiko kebakaran bukan sahaja melibatkan kawasan terbuka, malah turut menjejaskan premis kediaman dan bangunan.

Pendawaian elektrik yang dibebankan serta penggunaan soket berlebihan dalam keadaan suhu tinggi boleh mencetuskan litar pintas, sekali gus meningkatkan kebarangkalian kebakaran struktur.

Dalam masa sama, sektor ekonomi tidak terkecuali menerima tempias.

Sektor pertanian antara yang paling terjejas apabila tanaman mudah rosak akibat kekurangan air dan tekanan haba.

Sektor pembinaan dan perkilangan turut terkesan apabila waktu operasi perlu disesuaikan bagi mengelakkan risiko kesihatan kepada pekerja.

Ini secara tidak langsung menjejaskan produktiviti dan kos operasi.

Lebih membimbangkan, isu bekalan air kembali menghantui.

Paras empangan yang menyusut akibat kekurangan hujan boleh mencetuskan krisis air sekiranya keadaan berpanjangan.

Dari sudut kesihatan, gelombang panas ini memberi kesan khususnya kepada golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas, ibu hamil dan ibu menyusu.

Risiko strok haba meningkat apabila suhu badan melebihi 40.5 darjah Celsius, jauh daripada paras normal 37 darjah Celsius.

Gejala strok haba seperti sakit kepala berdenyut, mual, denyutan nadi pantas dan kurang berpeluh tidak boleh dipandang ringan kerana boleh membawa kepada komplikasi serius termasuk kegagalan organ, koma dan kematian.

Justeru itu, orang ramai disaran memperbanyakkan minum air, mengurangkan aktiviti luar, memakai pakaian ringan serta melindungi diri daripada pancaran matahari.

Hakikatnya, gelombang panas ini adalah peringatan bahawa negara tidak terkecuali daripada kesan perubahan iklim global.

Ia bukan sekadar isu cuaca, tetapi ujian terhadap keupayaan negara dalam mengurus risiko, melindungi rakyat dan merancang masa depan yang lebih mampan.

*Noor Ainon Mohamed ialah wartawan Sinar Harian