
Kes sawan akibat vape berperisa magic mushroom meningkat di kalangan pelajar
Bahaya Vape Magic Mushroom, Remaja Alami Halusinasi Teruk Dan Cakap Seorang Diri. Satu hantaran tular di media sosial menunjukkan seorang budak lelaki yang mengalami halusinasi, dipercayai akibat menghisap vape berperisa magic mushroom.
Menerusi perkongsian di laman X, kanak-kanak tersebut kelihatan terjejas teruk oleh vape itu. Ada yang berpendapat bahawa budak itu nampaknya sudah menghadapi masalah mental disebabkan penggunaan vape tersebut.

Seorang ustaz yang hadir menyatakan bahawa keadaan budak itu sudah agak baik kerana tidak lagi mencederakan diri sendiri. Beliau menambah bahawa kini semakin senang untuk kanak-kanak mendapatkan produk sedemikian.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen berasa simpati dan berharap isu ini dapat ditangani oleh pihak berkuasa dan masyarakat. Seorang netizen berkongsi pengalaman “membantai” adiknya yang tertangkap menghisap vape jenis ini, mengakui kesannya amat teruk sehingga menyebabkan adiknya khayal dan bercakap seorang diri.
Malah, ada juga yang mempersoalkan kesahihan video tersebut. Seorang pengguna X mengesahkan lokasi kejadian ialah Pusat Pemulihan Nur Al Barakah Sufi di Kedah, yang telah banyak membantu penagih dadah untuk pulih.
Kesan mengerikan vape berperisa cendawan, dari halusinasi hingga sawan kritikal
Pada Julai lalu, Buletin TV3 melaporkan seorang pelajar tingkatan 4 di Kemaman, Terengganu, ditemui dalam keadaan sawan sehingga pengsan selepas menghisap vape jenis ‘magic mushroom’ secara berlebihan.
Pelajar berusia 16 tahun itu dibawa ke klinik berdekatan dan kemudiannya dirujuk ke unit kecemasan Hospital Terengganu. Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami sawan kritikal akibat pengambilan perisa bahan kimia berbahaya secara berlebihan.


