Baidu memeterai kerjasama strategik dengan Uber dalam usaha meluaskan perkhidmatan roboteksi Apollo Go merentasi pelbagai pasaran global di luar Amerika Syarikat dan China. Usaha ini dilihat sebagai langkah penting dalam mempercepatkan transformasi industri pengangkutan ke arah mobiliti pintar. Melalui inisiatif bersama ini, pengguna Uber di pelbagai rantau bakal menikmati pengalaman perjalanan tanpa pemandu yang lebih selesa sejajar dengan perkembangan teknologi kenderaan swapandu.

Fasa pelancaran awal perkhidmatan dijangka bermula di rantau Asia dan Timur Tengah sebelum diperluaskan ke Eropah dan Turkiye menjelang penghujung tahun ini. Melalui integrasi terus dalam aplikasi, pengguna akan ditawarkan pilihan untuk menempah kenderaan swapandu Apollo Go sebagai alternatif perjalanan harian mereka. Inisiatif ini dijangka meningkatkan pengalaman mobiliti harian dengan cara yang lebih pintar dan lancar.

Menurut laporan terdahulu, Baidu merancang untuk melancarkan perkhidmatan roboteksi Apollo Go di Malaysia dan Singapura seawal tahun ini. Rundingan awal sedang dijalankan bersama rakan kongsi tempatan bagi mengenal pasti model perniagaan paling sesuai termasuk kemungkinan kerjasama dengan pengendali mobiliti, syarikat teksi, serta pengusaha kenderaan sedia ada secara kontrak.

Sementara itu di China, Apollo Go telah merekodkan penggunaan aktif lebih 500 kenderaan swapandu di Wuhan dengan jumlah perjalanan mencecah lebih 11 juta setakat suku pertama tahun ini. Kejayaan ini dijadikan sebagai landasan untuk meneroka pasaran baharu termasuk negara yang menunjukkan potensi tinggi seperti Malaysia.

