Baja lewat: Jangan salahkan MADA

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Baja lewat: Jangan salahkan MADA

ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) digesa mengambil tindakan segera menyelesaikan isu kelewatan bekalan baja tiga atau baja tambahan yang didakwa menyebabkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) menjadi sasaran kemarahan pesawah.

Pengerusi Peladang Muda PPK MADA, Aswadil Khairi Che Omar berkata, MADA tidak sepatutnya dipersalahkan kerana agensi itu didakwa sudah melakukan yang terbaik dalam memastikan bekalan baja diperoleh untuk kegunaan pesawah.

Sebaliknya, beliau berkata, keputusan berkaitan pembekal dan proses tender dibuat di pe­ringkat kementerian, namun kesan daripada kelewatan itu akhir­nya terpaksa ditanggung MADA serta PPK yang berdepan secara langsung dengan pesawah.

“Jangan salahkan pihak MADA. Saya tahu bagaimana mereka be­kerja dan bagi isu baja ini, mereka sudah melakukan yang sebaik mungkin untuk mendapatkan keputusan yang terbaik untuk peladang.

“Masalahnya dalam isu baja ini kita ‘order’ lain tetapi dapat lain, sedangkan keputusan mengenai pembekalan itu dibuat oleh kementerian di Putrajaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Aswadil, beliau sendiri terlibat dalam perbinca­ngan berkaitan pembekalan baja sejak sebelum proses tender baharu dibuka, termasuk susulan masalah kelewatan bekalan yang pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, cadangan membuka tender baharu pada asalnya dilihat sebagai langkah yang baik kerana diharapkan dapat memastikan pembekalan baja dilakukan mengikut masa, kualiti dan syarat yang ditetapkan.

“Sebagai peladang, saya melihat pembukaan tender ini sebagai sesuatu yang baik kerana kita mahu pembekalan sampai kepada pesawah pada tarikh yang ditetapkan. Tetapi apabila berlaku masalah seperti sekarang, MADA pula menerima impaknya dan menjadi sasaran kemarahan peladang,” katanya.

Aswadil berkata, keadaan itu turut memberi tekanan kepada kakitangan MADA dan PPK yang terpaksa berdepan kemarahan pesawah di lapangan.

Sementara itu, ujar beliau, pesawah sepatutnya tidak perlu berulang kali turun ke Putrajaya untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu yang menjejaskan pendapatan mereka.

“Kami ini sudah lama berdepan masalah keuntungan padi yang tidak seberapa. Sekarang dihimpit pula dengan masalah baja.

“Pendapatan padi tidak seberapa, tetapi kami masih perlu mencari duit untuk menyewa bas dan pergi ke Kuala Lumpur untuk menyuarakan masalah kami. Saya rasa seolah-olah kami ini pergi meminta sedekah untuk menyelesaikan masalah kami,” katanya.

Beliau menggesa KPKM mengkaji semula mekanisme pembekalan baja dan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku kegagalan memenuhi syarat ditetapkan.

“Sekarang peladang sudah pandai dan mereka mula mempersoalkan apabila berlaku kelewatan. Kalau ada persoalan me­ngenai ketirisan atau perkara lain, kementerian perlu tampil memberi penjelasan. Kalau masalah sudah berlaku, tindakan perlu diambil dengan cepat. Jangan tunggu sehingga masalah menjadi lebih besar,” katanya.

Dalam pada itu, Aswadil berharap masalah berkenaan tidak berulang pada musim akan datang kerana pesawah sudah berdepan peningkatan kos pengeluaran serta beban hutang di mana kegagalan mendapatkan bekalan baja pada masa sepatutnya akan memberi kesan kepada hasil tanaman dan pendapatan pesawah. – UTUSAN

The post Baja lewat: Jangan salahkan MADA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved